Sebuah kelab penyokong bola sepak Indonesia yang kini sedang beraksi dalam saingan Liga 1, PSS Sleman melalui ultras mereka yang dikenali sebagai Brigata Curva Sud (BCS) telah melancarkan satu tabung khas untuk disalurkan bagi menghargai pemain-pemain mereka yang berhempas pulas diatas padang.

Menggunaan motto ‘If you give us 90 minutes, we’ll give you a lifetime.‘ mereka telah mula mengumpulkan dana sejak 1 Ogos 2019 yang lalu dari penyokong mereka diserata Indonesia sehingga 13 Ogos 2019.

Mengikut perancangan mereka, semua jumlah sumbangan yang telah disalurkan itu akan disampaikan kepada pasukan ketika PSS Sleman bertemu Persela Lamongan pada esok, 15 Ogos 2019.

Selama hampir 2 minggu itu, BCS telah berjaya mengumpulkan dana berjumlah IDR239,671,793 atau sekitar RM70,474 dan semuanya adalah sumbangan ikhlas dari para pendukung kelab PSS Sleman.

Berdasarkan kemaskini di laman sosial Twitter mereka, pendukung kelab PSS Sleman dari pelbagai lapisan masyarakat begitu komited dan bersungguh-sungguh memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing demi untuk menghargai pengorbanan pemain-pemain mereka yang telah berjuang diatas padang membawa maruah pasukan.

Pergerakan ini telah mendapat sambutan dan kerjasama yang cukup kuat dari wakil-wakil BCS diseluruh Indonesia, sebagai contoh penyokong PSS Sleman di Borneo telah membuat sasaran bagi mengumpulkan sumbangan sebanyak IDR100 juta atau RM29,381 seperti dibawah.

Aktiviti ini telah tersebar dengan pantas terutama melalui laman sosial dan mereka menggunakan tanda pagar #BonusBosku sebagai rujukan.

Dapat diperhatikan dengan jelas kecintaan mereka kepada kelab apabila pendukung telah menyalurkan sumbangan menggunakan pelbagai rangkaian sistem pembayaran baik melalui perbankan atas talian, kaunter bank, pejabat pos termasuk juga aplikasi e-wallet OVO.

Pelbagai mesej yang dihantar sepanjang kempen ini diadakan juga jelas menunjukkan bahawa mereka bukan rapat dengan kelab tetapi adalah sebahagian daripadanya.

Dari perspektif mereka memberikan sokongan kepada kelab adalah satu tanggungjawab dan bukan satu pilihan untuk dipermainkan. Fakta pedih yang perlu diterima adalah mereka berada ditahap lebih tinggi dari kita sudut ini.

Apa yang lebih menarik, salah seorang pendukung skuad ‘Super Elja’ yang menggunakan nama NitaMaya28 telah memuat naik status dimana beliau telah ‘menyisihkan’ sedikit duit membeli pampers anak demi menyalurkan sumbangan kepada kelab kesayangan.

PSS Sleman ketika ini berada dikedudukan ke-4 saingan Shopee Liga 1 dengan 20 mata dari 13 perlawanan, ketinggalan 9 mata dari pendahulu liga TIRA-Persikabo.

Berbalik kepada kita, sedekat manakah dengan pasukan kita sokong sebenarnya? Fikir sejenak, adakah kita layak digelar sebagai penyokong atau sekadar penonton ketika menang sahaja. Silakan.

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group