Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mengesahkan pihaknya telah memperuntukkan RM100,000 untuk baik pulih kemudahan dan naik taraf ciri keselamatan di Stadium Darul Makmur.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan berusaha untuk mendapatkan sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) bagi memastikan gelanggang rasmi skuad tok gajah itu selamat digunakan.

“Kita pandang serius isu ini (Stadium Darul Makmur tiada CF) dan langkah sudah kita ambil untuk kita dapatkan CF daripada pihak berkuasa, saya difahamkan ia berkait dengan isu keselamatan yang perlu kita titik beratkan.

“RM100,000 sudah diperuntukkan untuk kerja-kerja menambah baik ciri keselamatan Stadium Darul Makmur yang dibina sejak 1973. Walaupun sejak 46 tahun ia dibina tiada sebarang insiden besar namun kita ambil berat dan pandang serius isu ini,” katanya dalam Arena Metro.

Ho Chi Minh new Stadium

Mohd Johari turut mengarahkan pihak pengurusan stadium segera melakukan kerja mengenal pasti kemudahan yang perlu dinaik taraf supaya dapat digunakan untuk menganjurkan perlawanan di peringkat antarabangsa kelak.

“Saya minta mereka (perbadanan pengurusan stadium) lakukan segera dan kenal pasti apa yang perlu kita naik taraf,” jelasnya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) baru-baru ini mendedahkan 13 stadium dari seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan seperti yang ditetapkan.

Bagaimanapun, lapan stadium ini disahkan mempunyai sijil CCC iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Hang Jebat, Stadium Tun Abdul Razak, Stadium Ipoh, Stadium Shah Alam dan Stadium UiTM Shah Alam.

Baca lebih lanjut mengenai 13 stadium di Malaysia yang didapati tidak mempunyai sijil layak menduduki daripada pihak berkuasa.

Jabatan Bomba Sahkan 13 Stadium Di Malaysia Tidak Mempunyai Sijil Layak Menduduki

Sumber