Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee, yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia, telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini.

Menurut kenyataan rasmi, Ahmad Khuzaimi dipilih menggantikan Syahmi Safari, dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT), yang memohon pengecualian susulan isterinya telah melahirkan bayi kembar tiga.

Lebih mengejutkan, pemain pertahanan Sabah, Rizal Ghazali yang sepatutnya menggantikan tempat Syahmi telah membuat keputusan untuk menolak panggilan ke kem latihan skuad Harimau Malaya kali ini.

“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan.

“Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri,” tulis kenyataan rasmi.

Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Pemain berpengalaman, Safiq Rahim turut disenaraikan bersama dua pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi. Antara muka baharu yang menyertai skuad kali ini ialah Khair Jones, Sharul Nazeem, Rahadiazli Rahalim, Ramadhan Saifullah, Hakimi Abdullah dan Hong Wan.

Menurut ketua jurulatih, Kim Pan Gon, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa Liga Malaysia dan maklumat tambahan kepada statistik lepas serta jumlah minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari tahun 2019 hingga 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kim Pan-gon Minta Semua Pihak Bersabar

RASMI: Elavarasan Jadi Pilihan Kim Pan Gon Sebagai Penolong Jurulatih

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya

Tengku Amir Harap Skuad Harimau Malaya Raih Banyak Kejayaan Dibawah Kendalian Kim Pan-gon