Pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, Richard Chin bakal berkunjung ke Malaysia dan difahamkan pemain itu akan berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Perkara ini dikongsikan oleh ejen pemain itu iaitu Rock Management dan pertemuan ini dilihat sebagai salah satu langkah untuk meyakinkan pemain itu agar beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Richard Chin ketika ini beraksi bersama Dartford FC, salah sebuah kelab yang beraksi dalam divisyen enam liga bola sepak England dan beliau menyertai kelab itu secara pinjaman dari Charlton Athletic.

Ketika beraksi bersama Charlton, Richard pernah membantu kelab itu mara sehingga ke peringkat suku akhir saingan Piala EFL dimana Charlton tewas kepada Manchester United yang muncul sebagai juara.

Sebelumnya, Richard mencipta sejarah apabila menjadi pemain berdarah Malaysia pertama yang tampil dalam saingan Piala EFL.

Pada aksi bertemu Walsall, Richard diturunkan dalam kesebelasan utama oleh pengurus pasukan, Ben Garner dan beliau diberikan peluang untuk beraksi selama 81 minit sebelum terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua ekoran mengalami kecederaan.

Richard turut menegaskan sebelum ini bahawa beliau mahu beraksi bersama Malaysia kerana ia satu penghargaan buat keluarganya terutamanya ayahnya yang berasal dari Malaysia.