Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis, 30 Disember 2021 telah mencapai keputusan berikut:

1. Pegawai Kelantan FC – Rezal Zambery Yahya

Kesalahan: Melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM atas tindakannya yang membuat kenyataan/komen semasa temu ramah berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran di mana kenyataan/komen semasa temu ramah yang dibuat oleh beliau secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia pada perlawanan TM Piala Malaysia 2021, Kelantan FC lwn Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 30 September 2021.

Hukuman: Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bolasepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya dan didenda sebanyak RM10,000.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan selama satu bulan pertama dahulu dan baki satu bulan kedua adalah ditangguhkan tertakluk kepada kepada kelakuan baik pegawai ini.

Penggantungan yang dikenakan ke atas pegawai ini adalah seperti berikut:

(i) Penggantungan satu bulan pertama dari 30 Disember 2021 hingga 29 Januari 2022; dan

(ii) Penggantungan satu bulan kedua dari 30 Januari 2022 hingga 28 Februari 2022 adalah ditangguh dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

Jika pegawai ini melakukan apa-apa perlanggaran yang terkandung di dalam Kod Tatatertib FAM dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan satu bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap pegawai ini. Keputusan denda boleh dirayu.

2. Pemain Johor Darul Ta’zim – Safiq Rahim

Kesalahan: Melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM atas tindakannya yang berkelakuan ganas apabila telah memukul dengan menggunakan kepala ke bahagian muka pemain pasukan lawan pada perlawanan Separuh Akhir Kedua TM Piala Malaysia 2021, Johor Darul Ta’zim lawan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 November 2021.

Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan seperti berikut:

i. Perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC lwn Johor Darul Ta’zim FC pada 30 November 2021 (penggantungan automatik); dan

ii. Baki penggantungan dua lagi perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah berkuat kuasa serta-merta pada perlawanan rasmi pemain ini yang pertama dan kedua di perlawanan Liga Malaysia (i.e. Liga Super/Liga Premier/Piala Sumbangsih/Piala FA/Piala Malaysia/Challenge Cup) yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

Baca juga artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.

Sepakan Percuma ‘Enjinkaiten Jutsu’ Dari Pasukan Sekolah Tinggi Jepun Ini Tular Di Seluruh Dunia

Alexandre Pölking: “Bukan Tidak Hormat Indonesia, Cuma Beri Kegembiraan Untuk Kawin Yang Kematian Bapanya.”

Indonesia Muncul Negara Asia Paling Banyak Kutip Mata FIFA Ranking Bulan Disember 2021