Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berwaspada dengan kemampuan Skuad Projek FAM-MSN selepas melihat keupayaan pasukan itu menjinakkan Tok Janggut Warriors FC,5-1 pada pusingan pertama Piala FA, Selasa lalu.

Ujar Rezal, Skuad Projek tampak seperti sebuah pasukan berbeza dari musim lalu di bawah kendalian Hassan Sazali Waras dan tidak mahu pemain Kelantan bersikap terlalu yakin menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

” Saya sendiri ada hadir ke stadium dan menyaksikan perlawanan berkenaan, apa yang saya boleh katakan, rata-rata pemain Skuad Projek punyai potensi yang sangat besar.

” Kekuatan stamina memainkan peranan yang cukup penting selain keinginan mereka untuk menunjukkan sesuatu, jadi pemain-pemain saya tidak boleh memandang rendah potensi Skuad Projek.

” Pemain-pemain saya kena ada mentaliti untuk sentiasa meraih kemenangan tanpa mengambil kira siapa sahaja lawan yang ditemui termasuk Skuad Projek.

” Setakat ini saya tidaklah berpuas hati secara keseluruhan dengan tahap permainan ditunjukkan oleh pasukan terutama dalam soal keserasian.

” Kita mahu mendapatkan tiga mata dalam tiap perlawanan, maka pasukan perlu beraksi secara konsisten dan jangan sama sekali mensia-siakan peluang yang hadir,” katanya.

Kredit Foto: TRW Kelantan FC

Kelantan FC meraih kemenangan sulung pada aksi Liga Premier selepas menewaskan JDT II, 2-1 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos pada 5 Mac lalu.

Namun mereka tunduk kepada PJ City FC,1-2 pada pusingan pertama Piala FA, 13 Mac lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Rezal mengesahkan yang Kelantan terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan, Zubir Azmi sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament( ACL).

“Zubir belum berkesempatan lagi sepanjang musim ini selepas mendapat kecederaan itu pada sesi latihan.”

“Kehilangannya pasti dirasai kerana dia merupakan antara pemain penting dalam pasukan tetapi saya harap dia sempat pulih untuk beraksi di penghujung musim ini.”

” Buat masa ini, tanggungjawab ketua pasukan saya serahkan kepada seorang lagi pemain pertahanan, Yusri Yushamadi, ” tambah Rezal Zambery lagi.

Perlawanan lain yang turut berlangsung pada Jumaat membabitkan saingan Liga Premier ialah antara JDT II dan Kelantan United di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.