Rexy Mainaky merupakan satu nama yang tidak perlu lagi untuk diperkenalkan kepada semua khususnya buat peminat badminton seluruh dunia berikutan karier hebat dinikmati beliau sepanjang bergelar pemain dan jurulatih.

Membentuk gandingan yang cukup mantap bersama Ricky Subagja, anak kelahiran Ternate, Maluku Utara di Indonesia itu seperti diketahui telah mengecap pelbagai kejuaraan.

Daripada seorang anak kecil yang mengimpikan untuk bergelar pemain bola sepak, nasihat berguna daripada bapa tercinta telah mengubah segalanya buat Rexy.

Karier sebagai pemain dan jurulatih yang cukup berjaya

Kejayaan meraih pingat emas sukan Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat ketika menewaskan pasangan negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock menjadi antara detik terhebat dalam karier beliau selain turut pernah menjulang trofi Kejohanan Dunia 1995 dan All England sebanyak dua kali berturut-turut [1995 dan 1996].

Ia hanya merupakan empat gelaran daripada lebih 25 kejohanan besar yang pernah dimenangi anak kepada mendiang Jantje Rudolf Mainaky dan Venna Heuvelman itu.

Malah ketika bergelar jurulatih pula, Rexy juga tidak menghampakan apabila berbekalkan pengalamannya telah berjaya mencipta gandingan-gandingan mantap dalam kancah badminton dunia.

Sebaik sahaja mengumumkan persaraan pada hujung 2001, Rexy terbang ke England untuk bergelar jurulatih dan beliau membimbing pasangan beregu campuran, Nathan Robertson-Gail Emms muncul juara All England 2005 dan naib juara Sukan Olimpik 2004 di Greece.

Beliau kemudiannya ke Malaysia pada fasa pertama bermula tahun 2005 hingga 2012 yang mana sumbangan terbesarnya adalah dalam melahirkan gandingan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Gandingan tersebut mencipta sensasi apabila muncul juara Piala Asia 2006 dan All England 2007 serta pelbagai kejuaraan Super Series.

Selain itu, pasangan Mohd Zakry Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari juga dilihat menyerlah ketika berada di bawah kendalian Rexy dimana mereka berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Dunia 2009 serta melayakkan diri ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia bagi dua tahun berturut-turut [juara pada edisi 2008].

Juara dunia yang dapat bimbingan Rexy. Kredit Foto: BAM & myallsports_ig

Dengan misi untuk melahirkan juara dunia serta pemenang emas Sukan Olimpik buat Malaysia masih belum dilaksanakan, Rexy akhirnya kembali semula ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku Pengarah Kejurulatihan Beregu pada 1 Disember 2021.

Satu daripada ‘hutang’ itu berjaya dilangsaikan oleh Rexy pada 28 Ogos 2022 apabila anak buahnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah dengan menjuarai Kejohanan Dunia di Tokyo.

Ketika ini juga dapat disaksikan peningkatan prestasi ditunjukkan Pearly Tan-M. Thinaah serta pasangan beregu campuran yang baharu sahaja digandingan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Selain itu, beliau turut pernah berbakti buat negara kelahirannya, Indonesia selaku Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Filipina dan Thailand [juara Sukan SEA 2017 dan 2019 serta naib juara Piala Uber 2018].

Mirip kisah ‘Anak-Anak Sidek’ versi Indonesia

Kehidupan Rexy sewaktu kecil nyata tidak ubah seperti apa dilakukan oleh Allahyarham Dato’ Haji Mohd Sidek bin Haji Abdullah Kamar terhadap anak-anaknya yang merupakan legenda badminton Malaysia.

Hal ini kerana Rexy telah dididik sejak kecil untuk cenderung dengan badminton kerana mendiang bapanya merupakan pemain badminton yang pernah menjuarai pertandingan seluruh Maluku.

Namun, bapa Rexy mungkin dilihat lebih terbuka kerana mendiang begitu meminati pelbagai jenis sukan.

Bagaimanapun dengan badminton sebagai keutamaan, mendiang Jantje Rudolf menyediakan gelanggang badminton di belakang rumahnya untuk memudahkan anak-anaknya menjalani latihan.

Dengan ‘passion’ dimiliki bapanya, tidak menghairankan adik beradik Rexy seperti Richard Leonard Mainay, Rionny Frederik Lambertus Mainaky, Marleve Mario Mainaky dan Karel Leopold Mainaky turut terlibat menyertai skuad kebangsaan.

Rexy Mainaky bersaudara. Kredit Foto: PB Djarum

Sehingga kini, adik beradik Rexy masih terlibat aktif dalam badminton sebagai jurulatih di dalam dan luar negara.

Hanya dua orang sahaja adik beradik Rexy tidak terlibat dengan badminton iaitu abang sulungnya, Marinus Rudolf Thomas Mainaky [Paderi] dan adik perempuan, Valentina Suwito Mainaky [menjalankan perniagaan].

Seperti yang dikongsikan oleh Rexy dalam video temubual di ‘Channel’ Youtube bekas pemain kebangsaan, Ameer Zainuddin, beliau bersama abang-abangnya perlu menjalani latihan bersama bapanya pada setiap petang.

Oleh disebabkan tidak terlalu meminati badminton pada usia masih kecil, pernah juga beliau ponteng latihan badminton kerana mahu bermain bola sepak bersama rakan-rakannya.

Namun, selepas menerima nasihat daripada bapanya yang mengatakan peluang untuk bergelar juara dunia lebih cerah sekiranya menyertai badminton berbanding bola sepak, Rexy mula menyedari hakikat tersebut dan memilih untuk serius dalam sukan bulu tangkis ini.

Selepas Richard menyertai skuad kebangsaan, ia seolah-olah menjadi perintis kepada motivasi tinggi Rexy dan adik beradik lain untuk bekerja keras dalam sesi latihan bagi merasai pengalaman yang sama dengan abang kedua mereka itu.

Ketika hampir berputus asa, Christian Hadinata datang beri harapan

Peminat mungkin melihat segalanya indah buat karier Rexy Mainaky tetapi pelbagai onak duri dilalui beliau dalam usaha untuk bergelar seorang pemain badminton kebangsaan.

Pada usia 16 tahun, Rexy dan Rionny berkelana ke Jakarta untuk meneruskan impian yang menyaksikan Rexy memasuki Sekolah Sukan manakala Rionny pula menyertai sebuah kelab di sana.

Pada ketika itu amat sukar buat mereka untuk memasuki skuad kebangsaan kerana terdapat kelab-kelab besar seperti PB Djarum yang berpangkalan di Kudus, Jawa Tengah, Kelab Badminton Suryanaga di Jawa Timur, Jaya Raya Acheh dan banyak lagi.

Pada satu ketika, Rexy berjaya memenangi acara beregu dalam sesi pemilihan pemain kebangsaan tetapi beliau masih lagi tidak terpilih walaupun sudah dinyatakan bahawa pemenang akan diserapkan ke dalam latihan skuad kebangsaan.

Kredit Foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Keadaan itu membuatkan Rexy kecewa dan memberikan sasaran sekiranya tidak berjaya menyertai pasukan pada usia 22 tahun, beliau akan pulang ke Bandar Ternate, Maluku untuk menghabiskan masa bersama rakan-rakan.

Rezeki nyata tidak tersalah alamat buat Rexy Mainaky apabila jurulatih skuad kebangsaan pada ketika itu yang merupakan legenda Indonesia, Christian Hadinata berjaya menghidu bakatnya.

Christian bersetuju untuk membawa Rexy ke kem skuad negara tetapi dengan syarat beliau perlu melepaskan acara perseorangan dan beregu campuran sebaliknya hanya memberikan tumpuan khusus kepada beregu lelaki.

Permintaan itu dituruti Rexy walaupun pada ketika itu beliau sudah berusia 23 tahun. Satu usia yang boleh dikatakan cukup lewat buat seseorang pemain untuk menyertai skuad kebangsaan.

Lebih menarik, Rexy selepas itu bergandingan dengan individu yang pernah berpasangan dengan Richard Mainaky iaitu Ricky Subagja.

Pernah terkesan dengan pemergian ayahnya

Sebagai seorang pendorong kuat dalam kariernya, Rexy jelas cukup terkesan dengan pemergian ayahnya pada Disember 1993 dimana sebelum itu mendiang pernah menyimpan harapan mahu melihat anak-anaknya menjuarai All England.

Bagaikan terkenang harapan tersebut, Rexy tanpa berselindung mengakui beliau enggan bermain pada perlawanan tersebut kerana merasakan ayahnya sudah tiada untuk melihat aksinya di pentas final.

Apatah lagi pada ketika itu mereka akan bertemu dengan rakan senegara, Rudy Gunawan-Bambang Suprianto. Selepas dipujuk oleh jurulatihnya, Atik Jauhari, Rexy akhirnya bersetuju untuk beraksi tetapi tidak bermain sepenuh hati pada perlawanan tersebut sehingga menyaksikan Rudy dan Bambang muncul juara.

Segalanya telah dikecapi sebagai pemain, masa untuk bersara

Terlalu banyak kejayaan diraih oleh Rexy bersama Ricky sepanjang karier mereka. Malah, beliau turut menganggotai skuad Indonesia ketika menjuarai Piala Thomas bagi empat edisi berturut-turut daripada tahun 1994 hingga 2000.

Selepas pelbagai kejayaan pernah dilakarkan dalam kariernya, Rexy merasakan sudah tiada apa perlu dikejar sehingga mengambil keputusan untuk bersara pada penghujung tahun 2000.

Bersara seawal usia 32 tahun, beliau mengalih tumpuan untuk misi lebih besar untuk membimbing para pemain dengan England sebagai destinasi pertamanya dalam bidang kejurulatihan.