Pemain pertahanan import pasukan Kedah, Renan Alves mahu memastikan benteng pertahanan tidak dibolosi pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

Kedah melepaskan tiga gol pada perlawanan pertama sekaligus memberikan kelebihan besar bagi pasukan lawan dan pemain dari Brazil itu tidak mahu perkara sama berulang.

Renan
Sumber Gambar: Kedah FA

“Impian saya adalah untuk memberi aksi terbaik pada perlawanan separuh akhir kedua ini selepas sekadar seri 3-3 di Stadium Darul Aman Sabtu lalu.

“Selain mengawal benteng agar terus kebal, kami juga perlu memburu gol kemenangan. Jumlah jaringan tidak kisah yang penting Kedah menang dan berjaya melangkah ke final sekali lagi.

“Walaupun kita tahu tugas berat menanti, semangat mahu ke pentas final akan kami bawa dalam perlawanan ini kerana tidak ada yang mustahil untuk mendapat kemenangan selagi terus berdisiplin dan turun dengan komitmen tinggi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada perlawanan separuh akhir pertama, Kedah berjaya bangkit menerusi dua jaringan oleh Fernando Rodriguez dan satu lagi disumbangkan oleh Zaquan Adha sekaligus mengikat kedudukan 3-3.

Apa yang pasti, skuad bimbingan Aidil Sharin itu bakal berdepan cabaran getir kerana Pahang kembali diperkuatkan oleh empat pemain tonggak yang baru pulih daripada kecederaan.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan pasukan Selangor yang akan menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim di Shah Alam.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Kedah menentang Pahang di sini:

Dollah Salleh Dilema Pilih Barisan Pemain Untuk Isi Kesebelasan Utama

Piala Malaysia 2019: Azmeer Buat Ulangkaji Bagaimana Cara Untuk Sekat Sumareh