Malam yang gila !! Skuad Harimau Malaya melakar kejutan apabila menewaskan Thailand, 2-1 sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah mereka dalam Kumpulan G kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Ini adalah kemenangan kedua Malaysia dalam tempoh seminggu selepas menewaskan pasukan di ranking 116 dunia, Tajikistan, 1-0.

Dalam perlawanan ini, Tan Cheng Hoe melakukan kejutan apabila menurunkan barisan pemain yang berbeza berbanding ketika menentang UAE dan Vietnam. Syahmi Safari menggantikan tempat Matthew Davies di posisi pertahanan kanan manakala Syamer Kutty berganding dengan Brendan Gan dan Azam Azih di bahagian tengah.

75144891_2501263246637091_7918910565488001024_o
FOTO: FAM

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula, Thailand terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Malaysia menerusi kelincahan Chanathip Songkrasin, Supachok Sorachat dan Ekanit Panya.

Kerisauan penyokong negara terhadap benteng pertahanan akhirnya menjadi kenyataan apabila Chanathip Songkrasin menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 6 setelah menerima hantaran daripada Ekanit Panya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia bangkit mengatur serangan dan memperolehi peluang terbaik melalui Syafiq Ahmad pada minit ke 10 hasil hantaran daripada Mohamadou Sumareh tetapi rembatannya lemah.

69846538_2501264459970303_2749715376605495296_o
FOTO: FAM

15 minit kemudian, Stadium Nasional Bukit Jalil bergegar dengan sorakan lebih 30,000 penyokong apabila pemain tengah Perak, Brendan Gan yang tidak dikawal berjaya menyamakan kedudukan kepada 1-1 setelah menyudahkan hantaran cantik daripada Syamer Kutty dari sebelah kiri.

Jaringan tersebut menyuntik semangat tambahan kepada anak buah Tan Cheng Hoe untuk terus mengandakan asakan dan Malaysia hampir menjaringkan gol kedua melalui rembatan Safawi Rasid pada minit ke 45 namun tersasar.

Memasuki separuh masa kedua, Malaysia tanpa membuang masa terus mengandakan asakan dan bermain dengan penuh keyakinan tinggi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil yang lumayan pada minit ke 56 apabila Brendan Gan melakukan hantaran cantik yang bijak kepada Mohamdou Sumareh lalu disudahkan dengan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen untuk gol kedua Malaysia.

Thailand cuba mencari gol penyamaan tetapi mereka kelihatan mengalami kesukaran untuk beraksi di atas padang ‘cow grass’ ditambah pula dengan kecemerlangan benteng pertahanan Malaysia yang kerap menghalang kemaraan jentera serangan Thailand.

Malaysia hampir gigit jari pada minit ke 81 namun penjaga gol negara, Khairul Azhan cemerlang menepis rembatan Teerasil Dangda. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memberi kegembiraan kepada ribuan penyokong yang hadir.