Berikutan pengguguran Kuantan FA pada 20 April 2018, 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018 yang disertai dua belas pasukan kini hanya berbaki sebelas pasukan bertanding.

Hasil perbincangan pada 27 Jun 2018, Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan bagi menjamin konsistensi bilangan pasukan yang dipromosi dan diturunkan sepertimana dilakukan sebelum ini serta bagi memelihara tahap daya saing yang lebih kompetitif bagi 100PLUS Liga Premier Malaysia.

Lembaga Pengarah MFL telah bersetuju dan mencapai keputusan untuk hanya menurunkan satu pasukan selepas tamat 100PLUS Liga Premier musim ini.

Keputusan ini juga diputuskan bagi mengelakkan penurunan kualiti sedia ada dalam 100PLUS Liga Premier Malaysia jika jumlah pasukan yang dipromosi ke 100PLUS Liga Premier Malaysia tidak diselaraskan.

Seperti yang telah ditetapkan, pasukan yang berada di tempat pertama dan kedua Piala FAM pula akan dipromosikan kepada 100PLUS Liga Premier Malaysia musim hadapan.