Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Rekod tanpa kalah Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) dalam saingan Liga Super musim ini akhirnya lebur apabila mereka tewas 1-2 kepada Sabah di Stadium Likas sebentar tadi.

Dalam perlawanan ini, Sabah bermula lebih garang dan bermotivasi tinggi untuk memburu kemenangan pertama selepas diberi kata dua oleh pihak pengurusan.

Tuah memihak kepada pasukan tuan rumah apabila diberikan sepakan penalti kerana bola tandukan Rawilson Batuil terkena tangan pemain pertahanan Terengganu.

Pemain import dari Gabon, Levy Madinda menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Sabah pada minit ke 37. Jaringan itu turut menyuntik semangat anak buah Kurniawan untuk terus mengasak ke kubu pasukan lawan.

ExAbWEGUUAAJj7d
FOTO: Sabah FC

4 minit kemudian, Sabah sekali lagi menjaringkan gol kedua menerusi Sam Johnson yang menyudahkan hantaran cantik daripada Madinda dalam kotak penalti.

Gol itu dihasilkan melalui serangan balas dan Sabah mengambil kesempatan terhadap kelekaan barisan pertahanan Terengganu. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu kembali bangkit mengatur gerakan dan memperolehi beberapa peluang keemasan namun percubaan mereka tersasar.

Malah, pengadil juga membatalkan gol pertama Terengganu pada minit ke 55 kerana penyerang import, Jordan Mintah didakwa mengasari penjaga gol tuan rumah.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat skuad kendalian Nafuzi Zain untuk terus memburu jaringan pertama dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Jordan Mintah merapatkan jurang gol hasil hantaran daripada Faisal Halim.

Ini juga merupakan jaringan ketiga beliau dalam saingqn Liga Super 2021 sekaligus meletakkan namanya dalam senarai penjaring terbanyak.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sabah mula mengetatkan benteng pertahanan dan enggan membenarkan jentera serangan lawan memasuki kawasan gol mereka.

Namun begitu, Terengganu tidak berjaya memecahkan kebuntuan untuk menjaringkan gol penyamaan. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan 3 mata penuh untuk Sabah.