Rekod tanpa kalah Sri Pahang dalam 11 perlawanan Liga Super akhirnya lebur apabila tewas 0-2 kepada juara bertahan, JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam perlawanan ini, JDT menurunkan skuad terbaik mereka termasuk gandingan rangkaian serangan berbisa seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieiri dan Arif Aiman.

Manakala Sri Pahang beraksi tanpa tonggak tengah, Azam Azih yang mengalami kecederaan serta beberapa pemain pinjaman dari JDT seperti Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq dan Izham Tarmizi.

Sejak awal minit perlawanan, JDT kerap melancarkan serangan bertubi-tubi namun beberapa percubaan berbahaya Bergson gagal menemui sasaran.

Malah, penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan juga beraksi cemerlang menafikan rembatan jarak dekat Afiq Fazail yang menerima hantaran cantik daripada Matthew Davies.

Sri Pahang jelas tiada idea untuk menembusi benteng pertahanan JDT dan mereka bergantung pada penyerang import Liberia, Kpah Sherman dalam melakukan gerakan ke pintu gol.

Pada minit ke 45, Stadium Sultan Ibrahim akhirnya bergema dengan sorakan penyokong apabila Bergson menolak masuk hantaran Forestieri untuk jaringan pembukaan. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan menjadi lebih rancak dengan beberapa gerakan menarik dilakukan oleh JDT namun Sri Pahang masih kental bertahan.

Pada minit ke 73, Forestieri menambah gol kedua menerusi rembatan lencong cantik yang mudah menewaskan penjaga gol tok gajah, Zarif Irfan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sri Pahang mula bangkit mengatur beberapa gerakan berbahaya dan memperolehi peluang terbaik menerusi Azwan Aripin tetapi rembatan leretnya tersasar.

Malah, Kpah Sherman juga gagal menjaringkan gol apabila percubaannya mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan 26 mata dengan rekod tanpa kalah.