Meskipun masih terlalu hijau dalam kancah bola sepak, Refon A/L Roslan yang bakal beraksi bersama MNY FC dalam saingan Liga M3 musim ini menyimpan hajat besar untuk mengikuti jejak langkah bekas pemain kebangsaan, Yosri Derma Raju.

Refon dan Yosri nyata mempunyai persamaan apabila kedua-duanya merupakan pemain daripada kaum Orang Asli. Golongan kaum yang amat jarang dapat kita saksikan menghiasi saingan bola sepak Liga Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Refon yang berusia 19 tahun melihat keadaan tersebut sebagai lonjakan semangat buat dirinya untuk membuktikan kemampuan diri selepas beliau terpilih menyertai skuad Liga M3 MNY FC.

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, pemain kelahiran Gua Musang, Kelantan dari suku kaum Temiar itu bertekad untuk terus menyerlahkan bakatnya di samping menimba seberapa banyak ilmu berguna bersama rakan sepasukannya di mana kelab tersebut turut dibarisi pemain berpengalaman seperti Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Afiq Azmi, Fazrul Hazli Mohd Kadri dan ramai lagi.

“Segalanya hadir bagai satu mimpi, saya hanya mendapat informasi tentang pasukan pembangunan MNY FC daripada abang saya. Dia memberikan saranan kepada saya untuk menyertai kelab tersebut.’’

Refon Roslan
Refon bersama rakan sepasukan ketika latihan pra-musim di Pulau Pangkor.

“Oleh kerana impian saya memang ingin menjadi pemain bola sepak profesional, saya bersetuju untuk turun ke Ipoh bagi menyertai skuad pembangunan MNY FC. Kebetulan selepas beberapa bulan berada di sini, pasukan mengadakan sesi pemilihan terbuka pemain Liga M3.’’

“Jurulatih juga berikan peluang kepada saya untuk menyertai pemilihan tersebut dan rezeki saya kerana terpilih walaupun ramai pemain berkualiti hadir pada hari pemilihan.’’

“Peluang keemasan yang diberikan walaupun saya baharu sahaja berusia 19 tahun perlu saya gunakan sebaik mungkin kerana peluang seperti ini tidak hadir banyak kali. Oleh itu saya perlu berdisiplin kerana sedar saingan Liga M3 bukanlah cabaran mudah untuk dihadapi.’’

“Sepanjang pengetahuan saya, ada seorang bekas pemain daripada kaum Orang Asli iaitu Yosri Derma Raju pernah mewakili pasukan kebangsaan, jadi saya pasti mahu mengikut jejak langkah beliau untuk dapat menyarung jersi negara satu masa nanti.”

“Ia bukan tugas mudah tetapi saya perlu buktikan kemampuan saya bermula daripada sekarang.’’ tambah Refon Roslan lagi.