Pengerusi Malaysia Football League (MFL), Tunku Ismail menjelaskan kepada penyokong dalam forum yang diadakan semalam mengenai isu penambahan pasukan dalam saingan liga bola sepak Malaysia.

Menjawab soalan yang diajukan oleh penyokong, Tunku Ismail menyatakan bahawa penambahan bilangan pasukan dalam liga tidak bergantung kepada MFL, sebaliknya lebih terarah kepada kemampuan setiap pasukan.

“Sekarang ini kami telah berjaya mendapatkan dana yang tertinggi dalam sejarah bola sepak tanahair. Memberikan RM3 juta kepada setiap pasukan unifi Liga Super dan RM1.5 juta kepada setiap pasukan 100PLUS Liga Premier.”

“Disini pun masih lagi ada banyak pasukan yang melaporkan kepada kami (MFL) bahawa mereka tak cukup duit sehingga ada meminta advance lagi.

“Bagi saya, kita perlu realistik lagi untuk mempunyai satu liga yang mengandungi lebih banyak pasukan bertanding. Kita mungkin perlu memberikan masa 1 hingga 2 tahun lagi untuk melihat kestabilan kewangan pasukan barulah kita boleh mempertimbangkan mengenai perkara ini.”

Kesimpulan dari isu penambahan pasukan dalam liga ini, pihak MFL dilihat tiada masalah untuk menambah bilangan pasukan yang bertanding, tetapi mahu semua pasukan mempunyai kestabilan dari segi kewangan terutamanya.

Jika semua pasukan sudah stabil kewangan, lebih mudah bagi MFL untuk menambahkan pasukan dalam liga seterusnya menjadikan liga lebih kompetitif tanpa melibatkan isu-isu berkaitan kewangan seperti isu tunggakan gaji pemain, staf dan sebagainya yang akan menggangu gugat prestasi serta kualiti bola sepak itu sendiri.