Liverpool ataupun gelarannya, The Reds tersingkir daripada Liga Juara Juara Eropah selepas tewas sekali lagi di tangan Real Madrid.

Ianya tugasan yang mustahil untuk Liverpool selepas tewas 5-2 pada perlawanan pertama di Anfield.

Namun hanya keajaiban sahaja yang boleh membantu mereka menyingkirkan Real Madrid di Bernabeu.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti terlebih dahulu menguasai permainan pada awal separuh masa. Walaupun Liverpool yang terlebih dahulu mencipta peluang menerusi Nunez.

Real Madrid kemudian melakukan beberapa siri percubaan lagi namun Alisson Becker kental di hadapan gawang.

Liverpool perlahan lahan berjaya mengimbangi penguasaan Real Madrid dan menghadirkan beberapa ancaman. Namun separuh masa pertama kedua dua pasukan berakhir buntu.

Separuh masa kedua, Jurgen Klopp mengarahkan pemain pemainnya lebih tinggi di atas padang. Real Madrid selesa dengan sistem permainan yang mereka gunakan, tidak terlalu mendesak.

Fede Valverde memiliki beberapa peluang, salah satu daripadanya adalah situasi 1 v 1 dengan Alisson yang berjaya dinafikan penjaga gol antarabangsa Brazil itu.

Satu lagi adalah ketika menyambut hantaran cantik Luka Modric, namun tandukan derasnya tersasar.

Klopp mengeluarkan Darwin Nunez dan memasukkan Firmino di barisan serangan.

Firmino hampir memenangi bola yang termuntah dari tangkapan Courtois.

Karim Benzema yang memiliki beberapa peluang dan gagal menyempurnakannya, dengan beberapa percubaan tersasar, akhirnya mendapat peluang yang terbuka di hadapan gol.

Segalanya bermula daripada pergelutan di dalam kotak penalti Liverpool, Vini Jr kemundian sempat menguis bola ke arah gandingannya itu dan Benzema pastinya tiada masalah langsung untuk menyempurnakan peluang keemasan seperti itu pada minit ke-78.

Sekaligus menutup serapat rapatnya pintu harapan Liverpool.

Tamat perlawanan Real Madrid 1 Liverpool 0. The Reds tersingkir di Bernabeu.

Bermakna ini adalah musim Liverpool sudah terlepas kesemua piala.

Ini adalah musim terburuk Jurgen Klopp bersama dengan Liverpool di mana pasukannya sudah menelan kekalahan ke-13 musim ini dalam semua pertandingan.