Pemain pertahanan serba boleh, David Alaba secara rasmi sah bergelar pemain baharu kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid selepas melengkapkan perpindahan secara percuma dari Bayern Munich.

Pemain skuad kebangsaan Austria tersebut dilaporkan akan menyertai pasukan baharunya itu sebaik sahaja kontrak beliau bersama Bayern Munich tamat pada 30 Jun nanti.

Menurut laporan dikeluarkan laman sesawang rasmi Real Madrid, Alaba telah memeterai kontrak selama lima tahun bersama Los Blancos.

Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu dilihat tepat pada masanya ketika jentera pertahanan Real Madrid kelihatan sedikit terumbang-ambing susulan kehilangan khidmat Sergio Ramos yang mengalami kecederaan panjang pada pertengahan musim ini.

Sehubungan dengan itu, Alaba jelas sekali mampu menjadi penyelesaian terbaik kerana beliau juga mampu beraksi dengan baik sebagai pertahanan tengah di samping bek kiri dan pemain tengah bertahan.

Kredit Foto: David Alaba Twitter

Alaba telah membuat 431 penampilan bersama Bayern Munich sehingga menjadikannya sebagai pemain import (luar Jerman) yang membuat penampilan terbanyak buat kelab Bavaria tersebut.

Selain daripada 33 jaringan yang berjaya dihasilkan, David Alaba berjaya menjulang dua trofi Piala Dunia Kelab FIFA dan Liga Juara-Juara Eropah serta memenangi 10 kejuaraan Bundesliga.

Antara pencapaian peribadi yang pernah dikecapinya ialah tersenarai dalam barisan ‘UEFA Player of the Year’ buat tiga musim berturut-turut (2013, 2014 dan 2015) dan Pemain Terbaik Tahunan Austria sebanyak tujuh kali.

Selain Bayern Munich dan musim depan bersama Real Madrid, beliau turut pernah menyarung jersi SV Aspern, Austria Viena dan Hoffenheim.

Baca artikel lain mengenai Alaba: 

Alaba Mahu £400k Seminggu Dari Chelsea

Alaba ‘Panas’ Dengan Presiden Bayern Yang Memburukkan Imejnya Secara Terbuka

TERKINI: Bayern Munich Tamatkan Rundingan Dengan Alaba

Sumber