Real Madrid dilaporkan mahu mengambil tindakan ke atas Gareth Bale. Ini selepas penyerang sayap asal Wales itu menolak untuk disertakan dalam pasukan yang akan menentang Espanyol.

Aksi menentang Espanyol merupakan perlawanan yang boleh memberikan kejuaraan liga buat Real Madrid. Dengan syarat mereka mengelak daripada kalah.

Ancelotti yang cuba  melakukan penggiliran pada skuadnya telah menyertakan Bale dalam pasukannya. Real Madrid masih ada perlawanan kedua menentang Man City di Bernabeu dalam aksi semifinal Liga Juara Juara Eropah.

Di mana Real Madrid kalah 4-3 dalam perlawanan pertama.

Namun pemain itu menolaknya. Ini bukan pertama kali Bale menolak untuk bermain ketika kelab perlu melakukan rotasi pasukan. Beliau melakukan perkara yang sama ketika aksi berdepan dengan Barcelona sebelum ini.

Real Madrid ketika itu dimalukan oleh Barcelona di tempat sendiri.

Tindakan Bale ini dianggap sangat tidak profesional oleh Real Madrid. Bale sudah menjadi bintang tersisih sejak era Zinedine Zidane lagi. Di mana pemain itu sudah beberapa kali diminta mencari kelab baharu.

Ketika Bale akhirnya setuju untuk berpindah ke kelab China, Florentino Perez pula dilaporkan menghalang perpindahan tersebut.

Bale yang kecewa melancarkan mogok dengan menolak untuk berlatih dengan mengemukakan sijil sakit. Namun pada masa yang sama tersebar gambar dia sedang bermain golf pada hari yang sama.

Kepulangan semula Ancelotti ke Real Madrid tidak menjadikan keadaan lebih baik buat Bale. Dia terus menjadi pemanas bangku simpanan.

Bale dianggap sebagai legenda Real Madrid dengan cara tersendiri. Walaupun seringkali menimbulkan kontroversi.