Real Madrid menjadi hanya pilihan ketiga Haaland sebelum dia meninggalkan Borussia Dortmund.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ayahnya, yang turut bertindak sebagai pengurus peribadi Erling  Haaland iaitu Alf Inge Haaland dalam filem dokumentari: “Haaland: The Big Decision”.

Erling Haaland menyertai Manchester City pada awal musim ini selepas kelab itu mengaktifkan klausa pelepasan Haaland yang agak rendah di Dortmund.

Manchester City sentiasa menjadi pilihan utama Erling Haaland yang mengakui dia merupakan peminat tegar City sejak dari kecil.

Kredit Foto: Manchester City

Pilihan keduanya adalah Bayern Munich. Dan yang ketiga barulah Real Madrid.

Alf Inge Haaland berkata: “Dalam senarai pilihan kami, Manchester City adalah yang terbaik.”

Real Madrid pilihan ketiga Haaland

Ayahnya kemudian mendedahkan Haaland mendapat banyak lagi pilihan lain. Antaranya termasuk beberapa kelab Inggeris dan juga kelab PSG dari Perancis. Paling menarik pastinya Real Madrid yang merupakan pilihan ketiga Haaland.

“Bayern Munich adalah pilihan nombor dua. Kami juga ada Real Madrid sebagai pilihan nombor tiga, Paris Saint-Germain sebagai nombor empat.”

“Kami juga ada beberapa pasukan Inggeris selain City yang agak bagus untuk dijadikan destinasi seterusnya. Liverpool dan Chelsea. Ada juga Barcelona. Mereka berada dalam barisan yang sama,” tegas ayah Haaland yang merupakan bekas pemain Manchester City.

Haaland sendiri mendedahkan punca perpindahan ke Manchester City, salah satunya kerana kehadiran Pep Guardiola sebagai jurulatih.

Penyerang Norway itu mengakui sangat gembira dibimbing Guardiola, yang menurutnya jurulatih terbaik dunia hari ini.

Haaland menyatakan bahawa inilah pertama kali dalam hidupnya, dia berpindah kerana pengurus.

“Saya tidak pernah berpindah ke kelab kerana pengurus,” kata Haaland.

“Bagaimanapun, ia adalah satu kelebihan besar bersama Guardiola di City, kerana dia adalah pengurus terbaik di dunia.”

“Ini adalah projek sukan terbaik di dunia sekarang dan di situlah saya akan melakukan yang terbaik.”

Haaland turut mengakui, pemain pemain di Manchester City turut membantunya dalam membuat keputusan. Selepas aksi pertemuan antara Borussia Dortmund dan Manchester City dalam UCL, ramai pemain City yang mahukan dia datang menyertai mereka.

“Selepas perlawanan itu, saya rasa 15 orang berkata saya perlu datang. (John) Stones dan Ruben Dias, (Ilkay) Guendogan, (Phil) Foden, (Kevin) De Bruyne,” tambah Haaland.

Walaupun baru menyertai pasukan juara England itu, Haaland sudah menunjukkan taringnya. Setakat ini, Haaland sudah  menjaringkan 14 gol dan satu assist daripada 10 penampilan untuk Manchester City dalam semua pertandingan.

Haaland turut mendahului senarai kasut emas EPL dengan 11 gol setakat ini.

Walaupun sebelum ini Real Madrid hanya pilihan ketiga Haaland. Namun kelab gergasi Sepanyol itu sedia menjadikan Haaland pemain bintang mereka menggantikan Karim Benzema selepas ini.

Real Madrid merancang untuk membeli Haaland €180 juta pada 2024 yang akan datang.