Pihak Malaysia Football League (MFL) menjelaskan bahawa tidak sebarang rayuan yang diterima dari Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) berkenaan isu mendaftarkan pemain mereka, Mohamadou Sumareh.

Semalam dilaporkan bahawa, pihak PBNP telah menghantar surat rayuan kepada MFL berkenaan isu Sumareh, namun Kevin Ramalingam melalui kenyataan kepada Berita Harian menjelaskan bahawa dokumen itu adalah permohonan pendaftaran Sumareh sebagai pemain tempatan dan bukannya rayuan kepada permohonan yang telah ditolak sebelum ini.

“Permohonan awal Pahang sebelum ini sudah ditolak berdasarkan peraturan sedia. Jadi kalau nak kata semasa (Sumareh) dapat kad pengenalan dulu sudah buat rayuan, mana ada, itu hanya permohonan,” kata Kevin.

rayuan sumareh

“Setahu saya, selepas keputusan (penolakan permohonan) itu, tiada apa-apa (rayuan) daripada Pahang dan rayuan perlu dibuat berdasarkan keputusan permohonan sebelum ini.”

Kevin Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, juga menegaskan bahawa peraturan bagi seseorang pemain bukan berdarah campuran, perlu memegang taraf kewarganegaraan selama 5 tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Menurutnya lagi, pihak MFL bersedia untuk mempertimbangkan permintaan dari PBNP itu sekiranya ada rayuan dibuat.

Selain itu, Kevin juga menjelaskan bahawa permohonan sebelum ini sudah dijawab oleh MFL mengikut peraturan yang telah ditetapkan 2 tahun yang lalu. MFL hanya akan mempertimbangkan semula permintaan itu sekiranya ada rayuan dibuat.

“Contohnya mereka boleh kemukakan sesuatu (dokumen) yang boleh menyokong kenapa (Sumareh) tidak perlu tunggu hingga lima tahun dan kami tidak pernah melarang sesiapa untuk membuat rayuan,” katanya.

Sumber