Esok merupakan aksi terakhir kempen Kelayakan Piala Asia 2023. Perlawanan menentang Bangladesh bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan kerana ia akan menentukan sama ada Malaysia layak secara merit atau tidak.

Walaupun kelebihan berpihak kepada skuad negara, namun Bangladesh tekad bermain mati-matian untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata manakala Harimau Malaya memerlukan kemenangan dengan jaringan besar.

Malah, Kapten Bangladesh, Jamal Bhuyan menjelaskan pasukannya tidak risau dengan kehadiran puluhan ribu penyokong skuad Harimau Malaya yang dijangka membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Beliau turut berharap rakyat Bangladesh yang bekerja di negara ini dapat turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada mereka.

“Apabila beraksi dalam perlawanan, anda sebenarnya tidak terlalu fokus kepada peminat. Tapi bagi saya, ia satu motivasi dengan kehadiran penyokong yang besar.

“Saya fikir ini juga salah satu motivasi untuk pemain muda kami, bagi memberi mereka lebih tenaga. Kami juga tidak memahami bahasa Malaysia, jadi ia bukan masalah.

“Sudah pasti kami ada perancangan dan kami tidak boleh maklumkan kepada anda. Kami tahu ini perlawanan yang besar, tekanan ada pada Malaysia kerana mereka perlu menang,” katanya.

Walaupun Bangladesh tewas dalam dua perlawanan menentang Bahrain dan Turkmenistan, namun perlawanan menentang Malaysia dijangka akan menarik kehadiran ratusan penyokong negara itu.

Mengikut statistik tahun lalu, jumlah pekerja Bangladesh di Malaysia adalah seramai 326,669 orang dengan majoritinya bekerja dalam sektor perkilangan dan pembinaan. Justeru itu, majikan mungkin akan merasai ‘kehilangan’ mereka di tempat kerja esok kerana kebanyakannya akan menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan 21,742 tiket telah terjual dan tidak mustahil sorakan penyokong Bangladesh menenggelamkan sorakan tuan rumah jika penyokong Harimau Malaya tidak memenuhi stadium.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kelayakan Piala Asia: Jaringan Penalti Bahrain Kecewakan Skuad Negara

Syafiq Ahmad Mahu Buktikan Kemampuan Jika Diberikan Peluang Beraksi

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama

Amaran Presiden FAM Kepada Pemain: “Jangan Lena Dibuai Dengan Sanjungan Dan Pujian”