Seperti diketahui pemain sayap, Safawi Rasid kini berada di Thailand untuk beraksi bersama kelab Thai League 1, Ratchaburi FC secara pinjaman.

Keadaan tersebut menyaksikan pemain sayap berusia 26 tahun itu kembali semula ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada latihan pra-musim akan datang.

Bagaimanapun, rata-rata penyokong JDT merasakan Safawi tidak diperlukan kelab juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu.

Pendapat itu disuarakan segelintir penyokong terhadap satu ciapan di Twitter Juan Budiman yang menanyakan soalan berbunyi: ‘ Adakah anda mahukan dia [merujuk kepada Safawi] kembali? Mengapa?”

Ada yang melihat penurunan prestasi Safawi menjadi sebab mereka tidak mahu melihat pemain tersebut kembali menyarung jersi skuad ‘Harimau Selatan’.

Selain itu terdapat penyokong yang berpendapat terus kekal di Thailand juga menjadi pilihan terbaik buat Safawi.

Memulakan karier bersama T-Team, aksi baik ditampilkan Safawi Rasid telah membawanya ke JDT pada musim 2017 yang menyaksikan beliau menjulang trofi Liga Super enam musim berturut-turut.

Musim 2018 dan 2019 jelas menjadi antara detik terbaik dalam kariernya apabila beliau dinobatkan selaku ‘Pemain Paling Bernilai’ dalam saingan Liga Malaysia.

Namun pada dua musim terakhir memperlihatkan penurunan terhadap prestasi beliau sehingga tempatnya sebagai pemain utama telah dirampas Arif Aiman Mohd Hanapi.

Keadaan tersebut menjurus kepada pemergiannya ke Thailand untuk mengikut jejak langkah pemain-pemain seperti Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) serta Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan (Police Tero) yang beraksi di sana.