Teka-teki mengenai jurulatih baharu Lee Zii Jia akhirnya terungkai apabila Wong Tat Meng sah akan membimbing pemain perseorangan nombor satu negara itu.

Perkembangan terkini mengenai perkara penting dalam karier Zii Jia itu disahkan laman sosial rasmi Team LZJ , sebentar tadi.

“Dengan sukacitanya kami mengumumkan pelantikan Encik Wong Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan baharu buat pasukan LZJ.”

“Tat Meng membawa banyak pengalaman daripada tugasan kejurulatihannya bersama skuad kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan dan baru-baru ini Hong Kong.”

“Beliau akan mula bekerja dengan Lee Zii Jia sebaik sahaja proses untuk berpindah dari Hong Kong ke Malaysia diselesaikan.”

“Tugasan segera buat Wong Tat Meng adalah untuk menyesuaikan program yang akan membantu Zii Jia mencapai prestasi yang konsisten, meningkatkan kedudukan dalam ranking dunia dan layak ke Sukan Olimpik 2024.”

Selain itu,kenyataan tersebut turut melaporkan Daren Liew akan terus bersama barisan kejurulatihan LZJ bagi mengimbangi pasukan tersebut dengan kehadiran pemain berpengalaman.

Kehadiran Wong Tat Meng di samping Lee Zii Jia dilihat tepat pada masanya dalam usaha untuk membimbing pemain nombor 10 ranking dunia itu terutamanya dalam memburu pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Apatah lagi Zii Jia sebelum ini dikritik hebat ketika menyatakan pendirian mahu bergerak sendiri tanpa bimbingan jurulatih.

Tat Meng sebelum ini berjaya menghidu bakat besar dimiliki permata berharga Korea Selatan, An Se Young sehingga menjadikannya sebagai pemain ranking ketiga dunia (ketika di bawah bimbingan Tat Meng).