Skuad Terengganu FC (TFC) bakal kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) selepas badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) memberi kelulusan untuk dijadikan sebagai venue rasmi semua perlawanan CIMB Liga Super, Shopee Piala FA dan juga TM Piala Malaysia bermula musim ini.

Perkembangan itu diumumkan oleh laman facebook rasmi TFC hari ini setelah menerima surat rasmi daripada MFL.

“Pihak TFC merakamkan ucapan terima kasih buat pihak MFL dan juga kesemua jabatan dan pihak yang terlibat, terutama dari Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) yang begitu bersungguh-sungguh memberikan komitmen dalam memastikan kesemua keperluan yang diperlukan lengkap dan mencukupi.

“Pihak TFC dan seluruh penyokong bola sepak negeri ini sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih buat kesemua jabatan dan individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan SSMZA kini kembali bergema,” kata kenyataan rasmi itu.

Padang di SSMZA sebelum ini sering kali dilanda masalah selepas cuaca hujan ekoran sistem saliran yang tidak sempurna dan merosakkan permukaan padang serta rumput setiap kali pemain beraksi.

Situasi itu menyebabkan skuad TFC terpaksa beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal musim 2017 dan pada April tahun lalu, permukaan padang akhirnya diperbaiki dengan TFC menjadi perintis dalam usaha MFL meningkatkan kualiti padang venue semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berharap peminat membanjiri SSMZA yang mampu memuatkan maksimum kira-kira 50,000 penyokong.

“ Setakat ini saya percaya dengan penyokong tetap akan beri sokongan pada pasukan walaupun daripada sudut keadaan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah lebih digemari kerana jarak padang lebih rapat dengan mereka untuk saksikan perlawanan.

“ Namun padang di Stadium Sultan Ismail berbeza dengan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kerana corak yang diterapkan oleh jurulatih, Nafuzi Zain lebih sesuai menggunakan kualiti padang di sini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang kami bawakan kepada anda sebelum ini.

Rumput Baru Jenis ‘Bermuda’ Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Di Gong Badak Kelihatan Cukup Mantap

RM1 Juta Untuk Kerajaan Terengganu Baiki Padang Stadium Sultan Mizan Daripada MFL