Penjaga gol skuad kebangsaan, Syihan Hazmi rasmi menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana dalam video tersebut Syihan dibawa menaiki kereta limosin yang menuju ke Stadium Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, Syihan dikaitkan dengan beberapa pasukan besar dalam saingan Liga Super selepas menampilkan prestasi yang baik sepanjang musim. Selain membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan liga di tangga ke-4, bekas pemain skuad B-23 tahun negara itu turut membantu skuad Jang mara ke peringkat suku akhir dimana mereka tewas kepada Selangor dengan keputusan 4-2.

Prestasi cemerlang Syihan Hazmi turut menarik perhatian ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pang-gon untuk memanggil pemain itu bagi beraksi di saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2024 dan juga kejohanan empat penjuru iaitu Piala Raja Thai.

Pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) sebelum ini berseloroh dengan mengatakan beliau tidak mengenali siapa Syihan namun kini semua sudah terjawap apabila penjaga gol itu menyertai JDT.

Di JDT, penjaga gol berusia 26 tahun itu akan bersaing dengan tiga lagi penjaga gol lain seperti Farizal Marlias, Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi.

Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan oleh bekas pemain skuad B-23 tahun negara itu, besar kemungkinan Syihan akan beraksi dalam skuad utama dan bersaing dengan Farizal yang merupakan salah satu pemain senior dalam pasukan.