Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) hari ini telah memperkenalkan 3 lagi pemain baharu termasuk seorang penyerang import sebelum saingan Liga Malaysia 2021 membuka tirainya bermula 5 Mac depan.

Beliau merupakan pemain dari Montenegro, Stefan Nikolić yang juga import kelima Skuad Hang Tuah musim ini.

Pemain berusia 30 tahun ini berhijrah dari kelab Bosnia Herzegovina, Krupa dan mempunyai pengalaman beraksi bersama banyak kelab di sekitar negara-negara Balkan dan Eropah seperti Serbia, Romania, Rusia, Poland, Croatia dan Bosnia.

Berdasarkan rekod di transfermarkt, Nikolic telah menjaringkan 4 gol dalam 13 perlawanan liga divisyen utama Bosnia pada musim lepas. Lebih menarik, beliau pernah beraksi dalam 16 perlawanan Europa League pada musim 2011 hingga 2013 dan menjaringkan 2 gol.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah membarisi Skuad Kebangsaan Montenegro di peringkat Bawah 19 dan 21 Tahun dan Melaka United merupakan kelab pertama pemain ini dalam Liga Malaysia dan Asia Tenggara.

“Semoga Stefan Nikolić dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini serta corak permainan dalam Liga Malaysia dan diharapkan dengan kehadiran serta pengalaman yang dimiliki penyerang ini mampu membantu Melaka United melakar sesuatu dan memperbaiki pencapaian musim lalu,” kata kenyataan rasmi.

150044176_137241968258532_6803715743447898694_o
FOTO: Melaka United

Turut diperkenalkan hari ini ialah dua pemain tempatan baharu iaitu bekas Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari dan pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang berhijrah dari Kelantan.

Upacara menandatangani kontrak tiga pemain itu disaksikan oleh YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Utama (Dr) Hj Sulaiman Md Ali selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dan Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan.