Selangor umumkan Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baharu pasukan mereka. Pengenalan rasmi Tan Cheng Hoe sebagai nakhoda baharu pasukan Gergasi Merah diadakan sebentar tadi.

Dalam kenyataan rasmi kelab, Selangor menyatakan: ‘Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi memberi ruang kepada beliau membuat persediaan awal serta merancang untuk musim hadapan.

Ketua Jurulatih berusia 54 tahun ini pernah mengendali pasukan Kebangsaan dari tahun 2018 sehingga 2021. Di bawah bimbingannya, pasukan Malaysia telah berjaya menjadi Naib Juara Kejohanan AFF 2018 di samping mempamerkan antara persembahan terbaik skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Selain itu, Tan Cheng Hoe turut pernah mengecapi beberapa kejayaan sepanjang karier kejurulatihan beliau seperti ketika bersama pasukan Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.
Berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau, Kelab percaya bahawa Tan Cheng Hoe merupakan calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.”

Selangor umumkan Tan Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe benar benar teruja dengan peluang mengendalikan pasukan Selangor. Dipetik daripada wawancara pertamanya bersama laman rasmi Selangor FC, bekas pengendali Harimau Malaya dan Kedah itu berkata:

“Bagi saya, Selangor FC merupakan satu Kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti. Saya berbesar hati untuk saya menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC. Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan.”

Tambah beliau lagi, “Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pasukan lebih awal bagi membantu saya membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan. Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pemain, pihak pengurusan serta barisan jurulatih. Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik.”

“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan. Di samping itu, saya juga perlu memahami setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu. Saya rasa kualiti yang mereka ada mampu membantu saya mewujudkan semangat juang tinggi dalam pasukan.”

Selain Selangor umumkan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Utama, Selangor FC juga ingin mengumumkan pelantikan Penasihat Teknikal Pasukan Utama yang bakal digalas oleh bekas pemain dan juga seorang lagenda Gergasi Merah, K. Sanbagamaran. Selain menjadi ketua pasukan Selangor, K. Sanbagamaran juga mempunyai lebih 300 penampilan serta telah memenangi sembilan kejuaraan bersama pasukan ini. Untuk makluman, pihak Kelab juga akan membuat beberapa pengumuman rasmi berkenaan pelantikan Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal dalam masa terdekat.

Selangor FC ingin mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil yang telah mengemudi pasukan sebagai Ketua Jurulatih Interim sepanjang tempoh kekosongan ini, dan beliau kini akan kembali memegang jawatan sebagai Penolong Jurulatih kepada Tan Cheng Hoe.

Akhir sekali Selangor FC berkata: “Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Tan Cheng Hoe di atas pelantikan ini. Semoga dapat membawa pasukan Merah Kuning ke peringkat yang lebih tinggi untuk masa hadapan.”