Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan Michael Feichtenbeiner telah melepaskan jawatan Ketua Jurulatih Pasukan Utama yang digalas selama setengah musim atas persetujuan bersama.

Menurut kenyataan rasmi, pencarian Ketua Jurulatih baharu sedang dijalankan dan mereka akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian telah dibuat.

Tugas tersebut kini digalas oleh Pembantu Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama Selangor sebagai Ketua Jurulatih sementara (Interim Head Coach) bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022.

Nidzam Jamil memulakan kerjaya kejurulatihannya dengan cemerlang semasa berkhidmat dengan SPA FC dari 2010 hingga 2014, apabila beliau menjadi salah seorang jurulatih termuda yang memenangi kejohanan peringkat kebangsaan peringkat senior di Malaysia iaitu dalam Liga FAM Malaysia 2012, ketika beliau berusia 32 tahun.

Selepas SPA FC, Nidzam menjadi jurulatih di AirAsia FC dalam Liga FAM, diikuti dengan membimbing pasukan Bola Sepak Universiti Malaysia dalam kejohanan โ€˜World University Games Summer Universiadeโ€™ yang ke-29 di Taipei 2017. Pada 2017, beliau dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Felda United FC, sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jurulatih pada November 2018.

Manakala Michael Feichtenbeiner memberi fokus sepenuhnya kepada projek pembangunan bola sepak Selangor sebagai Pengarah Sukan Selangor FC yang disandang beliau sejak tahun 2020.

Sehingga kini seramai 19 pemain muda dari Pasukan Feeder Selangor FC telah diserap ke Pasukan Utama seperti Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa, Quentin Cheng dan ramai lagi.

“Pada tahun ini juga, seramai 10 pemain muda Selangor telah dipilih mewakili Skuad B23 Kebangsaan dan seramai 13 pemain muda lagi telah mewakili Skuad B19 Kebangsaan untuk pelbagai kejohanan peringkat ASEAN dan Asia.

“Selangor FC juga merupakan antara pasukan termuda (mengikut purata umur) dalam saingan Liga Malaysia 2022 dan pihak Kelab percaya bahawa projek pembangunan ini wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan Kelab ini,” tulis kenyataan rasmi kelab.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Piala FA 2022: Rahadiazli Bawa Terengganu Mara Ke Final Jumpa JDT

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka