Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) muncul pasukan pertama Liga Malaysia melancarkan jersi Home 2021 secara rasmi hari ini di kesemua platform sosial media Gergasi Merah.

“Legasi Mokhtar Dahari” menjadi elemen utama dalam rekaan jersi Home tahun ini. Allahyarham Mokhtar Dahari yang juga dikenali sebagai SuperMokh, merupakan salah seorang legenda Selangor yang amat disegani dan merupakan ikon bola sepak Selangor dan Malaysia yang tersohor sehingga hari ini.

Menurut kenyataan rasmi, jersi tersebut mengambil inspirasi daripada rekaan jersi yang disarung oleh pasukan Selangor hanya untuk sekali iaitu sewaktu final Piala Malaysia pada tahun 1986, beliau merupakan tonggak utama pasukan dalam menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang ke-27 pada tahun tersebut.

Jersi Home 2021 ini masih mengekalkan beberapa elemen penting daripada jersi tahun 1986. Antaranya ialah warna jersi di mana warna merah, kuning dan hijau di jersi ini diambil daripada bendera Raja Muda Selangor sebagai penghormatan kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor yang pada ketika itu merupakan DYTM Raja Muda Selangor serta penyokong nombor satu pasukan Selangor.

Selain itu, kedudukan lambang Selangor FC juga diletakkan di bahagian kanan dada seperti jersi asal bagi mengetengahkan elemen retro bagi jersi home musim ini.

442284334452546SELANGOR FC HOME JERSEY DETAILING

Walaupun tema dan konsep jersi Home 2021 berlandaskan unsur-unsur retro, terdapat beberapa elemen moden yang digarap supaya ia bersesuaian dengan rekaan kontemporari. Antara perbezaan terbesar di antara jersi musim 2021 dengan jersi asal adalah hiasan motif kelopak bunga di bahagian warna kuning jersi yang melambangkan bunga rasmi negeri Selangor iaitu bunga tanjung (mimusops elengi).

Selain itu, edisi musim 2021 juga mempunyai bendera quarterfly merah kuning pada bahagian dada dan riben bertulisan “85 Years Creating A Legacy” yang disematkan pada bahagian belakang kolar, sempena sambutan 85 tahun penubuhan pasukan bola sepak ini.

442284339612616DETAILING 3

Lambang istimewa ‘SuperMokh’ turut diabadikan di belakang jersi Home musim ini sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham Mokhtar Dahari yang menyarung jersi ini semasa menjulang kejuaraan terakhirnya bersama pasukan Selangor.

Setelah mendapat sambutan yang hangat apabila mengeluarkan jersi Home yang berwarna merah hati sebagai simbol penggabungan di antara FA Selangor dan PKNS FC pada tahun lepas, pihak pengurusan Selangor FC telah memutuskan untuk membuat kelainan pada tahun ini juga dengan memilih warna kuning sebagai warna utama jersi Home setelah sekian lama ia tidak digunakan sebagai warna utama jersi Home pasukan Selangor.

4422843375875DETAILING 1
Simbol Mokhtar Dahari.

Jersi retro yang simbolik dan penuh bersejarah ini kini boleh dibeli di laman web SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain manakala edisi penyokong hanya akan dikeluarkan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Penyokong Selangor yang berdaftar sebagai pemegang Red Giants Team Card 2021 pula akan menerima diskaun sebanyak 10% untuk setiap pembelian jersi pada tahun ini.

Teruskan membaca artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Piala Presiden, Piala Belia Dan Liga Premier Futsal Malaysia Ditunda Sehingga Bulan Jun

Christophe Gamel Bantu Thomas Dooley Bimbing Sri Pahang FC

Yakult Sedia Hantar Pemain Muda Terengganu FC Ke Jepun

Faizal Azumu Letak Jawatan Sebagai Presiden PAFA, Dedahkan Gaji Pemain Masih Tertunggak

19 Pengadil Malaysia Didaftarkan Sebagai Pengadil FIFA Tahun 2021, Amirul Izwan Ditauliah Video Match Official (VMO)

FA Thailand Dedahkan Mereka Miliki 39 Jurulatih Yang Memegang Lesen PRO, 120 Orang Lagi Berstatus Lesen A