Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan Kejohanan AFC bawah 19 tahun (B-19) yang sepatutnya berlangsung di, Tashkent, Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober ini terpaksa ditunda awal tahun depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat setelah meneliti situasi semasa wabak pandemik COVID-19 di negara tuan rumah. Selain itu, sekatan perjalanan yang masih dikenakan oleh beberapa negara yang terlibat dalam pertandingan itu.

Turut ditunda ialah Kejohanan AFC B-16 yang diadakan di Bahrain.

“Jawatankuasa Eksekutif AFC menyedari bahawa wabak tersebut telah mempengaruhi kemampuan AFC untuk menjayakan pertandingan itu.

“Dengan mempertimbangkan hal ini dan keperluan untuk mengutamakan kebajikan pemain muda, serta cabaran perjalanan dan kesihatan, Kejohanan AFC B-16 dan AFC B-19, yang dijadualkan untuk Bahrain dan Uzbekistan, telah ditunda hingga awal 2021,” kata kenyataan rasmi AFC.

Bulan lepas, kerajaan Uzbekistan telah melanjutkan tempoh “lockdown” di negara mereka susulan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19 yang masih belum menunjukkan tanda pengurangan.

Kejohanan itu menawarkan 4 slot automatik ke Piala Dunia B-20 di Indonesia pada tahun 2021. Malaysia yang dilatih oleh Brad Maloney diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, Tajikistan dan Yaman.

Mereka sempat mengadakan kem latihan pusat selama 3 minggu dengan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan telah diatur. Pembatalan pertandingan itu menyaksikan bintang muda, Wan Kuzri Wan Kamal terpaksa pulang ke Amerika Syarikat untuk lapor diri ke kelabnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-19 melalui pautan dibawah. 

Dibelasah PJ City, Skuad Malaysia B-19 Dapat Pengajaran Yang Berguna

Prestasi Goyah Skuad B-19 Tahun Negara Cetus Kerisauan

Aiman Afif Tercabar Dengan Kehadiran Wan Kuzri Dalam Skuad B-19 Tahun Negara