Sabah tidak menunggu lama untuk meningkatkan kualiti di posisi pertahanan apabila membawa masuk pemain Kuala Lumpur (KL) City, Muhammad Irfan Zakaria  bagi menghadapi musim 2023.

Ia merupakan rekrut kedua buat pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim ini ditangga ketiga itu selepas turut mengumumkan kehadiran penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok.

Selain itu, Stuart Wilkin yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) juga telah melengkapkan perpindahan secara tetap dengan kontrak selama dua tahun.

Ia memberikan gambaran jelas bahawa Sabah tidak memandang mudah cabaran yang bakal dilalui pada musim hadapan dimana selain daripada Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, pasukan dengan jolokan ‘Sang Badak’ itu akan menyertai Piala AFC.

Kehadiran Irfan dilihat dapat memberikan lebih banyak pilihan berkualiti buat ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee dimana beliau turut memiliki Rawilson Batuil dan Dominic Tan di posisi pertahanan.

Berdasarkan statistik, musim 2022 menyaksikan Sabah dan Negeri Sembilan menjadi pasukan ketiga yang paling kurang dibolosi dalam Liga Super iaitu sebanyak 26 gol.

Seperti diketahui, Irfan yang kini berada dalam senarai menunggu untuk skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF 2022 juga mampu beraksi dengan baik sebagai pemain tengah bertahan.

Malah, Kim Swee juga pastinya lebih arif dengan kemampuan Irfan Zakaria kerana pemain tersebut merupakan antara tonggak pasukan ketika beliau membimbing skuad bawah 23 tahun negara.

Irfan yang merupakan produk Harimau Muda menyertai KL City pada 2016 dan kemudiannya berhijrah ke Kedah selama semusim sebelum kembali menyarung jersi skuad warga kota.