Rafa Benitez akhirnya dipecat sebagai pengurus Everton selepas satu lagi kekalahan dialami Everton semalam.

Benitez yang hanya mengendalikan Everton selama enam bulan setengah sudah beberapa kali mengelak dipecat sebelum ini.

Namun kekalahan 2-1 di tangan Norwich sangat sukar diterima. Satu mesyuarat tergempar melibatkan lembaga pengarah kelab dengan pemilik dibuat serta merta sebaik sahaja kekalahan itu.

Dan BOD sebulat suara mengundi untuk memecat Benitez. Pemegang saham terbesar kelab Farhad Moshiri turut menyokong tindakan itu walaupun sebelum ini dia adalah orang yang paling percayakan Benitez.

Farhad Moshiri mengejutkan ramai pihak sebelum ini ketika memilih bekas pengendali Liverpool itu menjadi pengurus baharu mereka menggantikan Carlo Ancelotti yang meminta untuk dilepaskan ke Real Madrid.

Namun pada awalnya, Benitez membuatkan penyokong mulai percaya kepadanya apabila menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlawanan awal Everton. Berada di tangga kelima selepas enam perlawanan dengan 13 mata daripada 18 mata maksimum dikutip mereka.

Segalanya berubah. Apabila Benitez dikatakan mulai bermasalah dengan beberapa pemain. Ini termasuk bintang Everton, Lucas Digne yang kemudiannya dijual ke Aston Villa baru baru ini.

Benitez menjadi pengurus kelima dipecat di bawah era pemilikan Moshiri selepas Roberto Martinez, Ronald Koeman, Sam Allardyce and Marco Silva.

Lebih teruk, Benitez diserang oleh penyokong Everton yang masuk ke padang. Mujur petugas keselamatan bertindak pantas.

Kain rentang meminta Benitez berambus dari kelab mereka dikibarkan oleh seksyen penyokong Efverton di Carrow Road.

Beberapa nama sudah dikenalpasti sebagai calon pengganti. Antaranya Frank Lampard dan Wayne Rooney. Lampard yang masih belum berjawatan menjadi calon yang dianggap sangat realistik ketika ini.

Duncan Ferguson akan mengambil alih sebagai interim buat masa ini.