Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan Qatar sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 bagi menggantikan tempat China. Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekusif badan induk itu.

Ketika ini hanya tiga buah negara menghantar bidaan hak tuan rumah iaitu Qatar, Indonesia dan Korea Selatan. Bagaimanapun, Korea Selatan dan Indonesia dilaporkan tidak  memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh AFC.

Qatar yang merupakan juara bertahan Piala Asia akan menganjurkan kejohanan paling berprestij Asia itu buat kali ketiga selepas tahun 1988 dan 2011.

Qatar Piala Asia

Presiden AFC Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa turut mengucapkan tahniah kepada QFA atas kejayaan bidaan mereka dan turut menyampaikan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

“Bagi pihak AFC dan keluarga bola sepak Asia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Qatar kerana telah dianugerahkan hak penganjuran edisi Piala Asia AFC™ yang akan datang.

“Kita juga harus berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Indonesia dan Persatuan Bola Sepak Korea kerana menyuarakan hasrat mereka untuk mengadakan kejohanan itu.

“Keupayaan dan rekod prestasi Qatar dalam menganjurkan acara sukan antarabangsa dan penilitian mereka terhadap perincian sangat dikagumi di seluruh dunia.

“Saya juga mesti memuji AFC kerana mempamerkan profesionalisme tertinggi dalam menjalankan proses pembidaan yang adil dan telus dan saya berterima kasih kepada semua rakan komersial dan penaja kami atas kesabaran mereka pada masa yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Shaikh Salman.

Memandangkan Qatar dipilih, aksi Piala Asia tidak akan berlangsung pada tahun depan sebaliknya ia akan diadakan pada Januari 2024. Ini kerana waktu itu cuaca tidak panas dan memberi keselesaan kepada pasukan yang bertanding.

Selain itu, Qatar turut menganjurkan Piala Dunia 2022 yang bermula pada bulan November ini. Mereka sudah bersedia dari segi logistik dan kemudahan sukan yang bertaraf dunia.

Skuad Harimau Malaya bakal membuat penampilan keempatnya dalam pentas Piala Asia selepas turut layak sebelum ini beraksi pada 1976, 1980 dan 2007 (ketika ini selaku tuan rumah bersama Thailand, Indonesia dan Vietnam).

Malaysia layak selepas muncul lima pasukan naib juara terbaik pada pusingan kelayakan yang berlangsung Jun lalu sekaligus melengkapkan 24 pasukan bertanding di saingan itu nanti.