Cody Gakpo akan menyelesaikan beberapa formaliti lagi dalam usahanya sertai Liverpool pada Januari akan datang.

Perkara itu disahkan sendiri oleh kelabnya ketika ini, PSV Eindhoven, beberapa jam selepas kemenangan Liverpool ke atas Aston Villa dalam aksi Boxing Day.

PSV menyatakan: “PSV dan Liverpool telah mencapai persetujuan dalam kertas cadangan perpindahan Cody Gakpo.”

“Pemain penyerang berusia 23 tahun itu akan berlepas ke England untuk menyelesaikan beberapa formaliti dalam usaha melengkapkan perpindahan tersebut.”

Liverpool terdesak mencari pemain sayap kiri baharu selepas kecederaan terbaru melanda Luis Diaz ketika latihan pada rehat Piala Dunia.

Nama Cody Gakpo menjadi sasaran terbaru Liverpool untuk menampung kualiti ‘squad depth’ di bahagian serangan selepas krisis kecederaan melanda.

Gakpo merupakan pemain yang menjadi sasaran Erik Ten Hag, terutama sekali selepas Man United menamatkan kontrak Cristiano Ronaldo.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa, Gakpo sudah memberikan isyarat jelas bahawa dia menantikan perpindahan ke Man United, seperti mana yang dia pernah nyatakan secara terbuka ketika Piala Dunia lalu.

Di mana ketika itu Gakpo mengesahkan bahawa Man United pernah berunding dengan PSV Eindhoven untuk menandatanganinya ketika musim panas lalu. Dan pemain itu menjangkakan Man United akan datang dengan tawaran rasmi sekali lagi selepas Piala Dunia 2022.

Namun di pihak Man United, tiada usaha lebih pro aktif dibuat membuatkan Liverpool berpeluang untuk mendapatkan pemain itu dengan harga yang dilaporkan sekitar £37 juta dan akan mencecah £50 juta selepas bonus. Akhirnya Gakpo akan sertai Liverpool.

Pemain akan didaftarkan ke dalam skuad sebaik sahaja jendela perpindahan Januari 2023 rasmi dibuka pada Ahad akan datang.

Cody Gakpo boleh beraksi di kesemua posisi serangan termasuk no.9. Di mana ketika Piala Dunia 2022, dia menjaringkan 3 gol untuk Belanda sebelum mereka disingkirkan juara, Argentina.

Dia menjadi bintang utama Belanda dalam Piala Dunia 2022 yang lalu dengan prestasi yang cemerlang.

Pemain tersebut dikaitkan dengan banyak kelab besar yang lain. Dia mengakui sangat berminat dengan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

PSV sudah menyatakan pendirian mereka bahawa, mereka hanya akan melepaskan Gakpo dengan harga yang tepat sahaja.