Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan perlawanan pusingan akhir Piala Asia 2023 akan diadakan selama 31 hari iaitu pada 16 Jun hingga 16 Julai 2023 di China.

Piala Asia 2023 ini merupakan antara pertandingan terbesar benua untuk pasukan kebangsaan dan 10 bandar yang terpilih dari seluruh China akan menjayakan acara berkelas dunia yang membabitkan 24 pasukan.

Antara bandar yang dipilih menganjurkan perlawanan Piala Asia 2023 ialah Beijing, Changsha, Chengdu, Chongqing, Dalian, Guangzhou, Hangzhou, Shanghai, Suzhou, Tianjin dan Wuhan.

Ini kali kedua China menjadi tuan rumah Piala Asia kerana sebelum ini pernah menganjurkannya pada tahun 2004.

“Kami yakin kejohanan yang diadakan di China ini akan menjadi lebih besar dan lebih hebat dalam sejarah bola sepak Asia.

“Kami tahu jawatankuasa penganjur dan Persatuan Bola Sepak China sedang berusaha untuk memastikan ia menjadi kejohanan paling bersejarah pada tahun 2023,” kata setiausaha agung AFC, Datuk Windsor John dalam satu kenyataan.

Salah satu venue perlawanan yang sudah siap sepenuhnya ialah Stadium bolasepak Pudong, Shanghai. Stadium itu juga turut digunakan sebagai gelanggang rasmi Piala Dunia Kelab FIFA serta stadium rasmi kelab Liga Super China, Shanghai SIPG.

Jawatankuasa penganjuran turut mengumumkan bandar Beijing sebagai tuan rumah perlawanan pembukaan dan final Piala Asia 2023. China juga menganggap kejohanan itu sebagai batu loncatan untuk berpotensi menjadi tuan rumah Piala Dunia seawal tahun 2030 atau 2034.

Timbalan Menteri Sukan China, Du Zhaocai turut menyifatkan Piala Asia 2023 sebagai peluang keemasan untuk mempromosikan bandar-bandar China ke seluruh dunia, meningkatkan ekonomi serta pembangunan sosial tempatan dan memudahkan pertumbuhan bola sepak di seluruh negara.

Baca artikel lain mengenai Piala Asia 2023 melalui pautan dibawah. 

Peluang Harimau Malaya Layak Ke Piala Asia 2023 Boleh Terjejas Jika Liga Malaysia Dibatalkan

10 Stadium Moden Dibangunkan, China Mahu Jadi Penganjur Terbaik Piala Asia 2023