Perak menambah kekuatan di posisi penjaga gol apabila baharu sahaja mengumumkan kehadiran Bryan See Tian Keat dari Melaka United untuk mengawal benteng terakhir pasukan bagi menghadapi Liga Super musim 2023.

Ia merupakan satu kepulangan semula buat Bryan ke Ipoh kerana beliau sebelum ini pernah bersama skuad Piala Presiden Perak dan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).

Perkembangan terkini itu disahkan oleh Perak menerusi video pengenalan pemain tersebut di laman sosial rasmi pasukan.

“Saya gembira dapat bersama lagi dengan Perak dan saya nampak pemilik baharu [XOX] mempunyai visi dan misi mereka yang tersendiri. Jadi, ini merupakan satu perancangan yang bagus,” ujar Bryan.

Selain bersama PKNP FC dan Melaka United, pemain berusia 29 tahun itu juga pernah mengemudi gawang PDRM dan Penang serta pernah berkelana ke Thailand untuk beraksi dengan Bangkok FC.

Bersama Perak, Bryan sudah pasti menggalas tanggungjawab lebih besar kerana pengalamannya akan ditagih untuk membimbing barisan pemain muda untuk menghadapi saingan besar seperti Liga Super.

Hal ini kerana pengendali pasukan, Lim Teong Kim dirasakan akan lebih banyak menggunakan khidmat pemain muda dalam membina kembali Perak tersebut.

Fakta menarik untuk dikongsikan mengenai Bryan See ialah beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di University Of California (UCI).

Bryan menjadi pemain ketiga yang diperkenalkan sebagai rekrut baharu Perak selepas Harith Naem Jaineh [Melaka United] dan Ilham Aqil dari UiTM FC.