Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) melakukan kejutan apabila mengumumkan kemasukan penyerang berbisa dari Thailand, Adisak Kraisorn bagi memperkuat jentera serangan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Adisak bukanlah nama asing dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara kerana beliau merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Thailand dan sering mewakili negaranya di pentas antarabangsa.

Menurut kenyataan rasmi TFC, pemain yang berusia 31 tahun ini telah menandatangani kontrak untuk bersama pasukan itu selama tempoh 2 tahun ( 1 + 1 ).

“Adisak akan mengisi kuota pemain asing asean yang ditinggalkan oleh Manuel Ott iaitu pemain dari negara Filipina. Adisak memutuskan untuk berhijrah dari liga Thailand adalah untuk mendapatkan cabaran baru dan beliau melihatkan saingan Liga Malaysia adalah antara salah sebuah liga kompetitif di Asia Tenggara dan seperti yang kita tahu pasukan Terengganu FC adalah antara pasukan yang sangat dikenali bukan sahaja di Malaysia tetapi di Thailand sendiri dan melihatkan pasukan ini mempunyai satu aura berbeza, ia berjaya menarik minat pemain ini untuk menjadi sebahagian dari kelab ini bermula pada musim hadapan. Adisak bakal menyarung jersi bernombor 9 bersama Terengganu FC,” katanya.

Jika ada peminat yang sudah mengikuti perkembangan pemain ini sebelum ini, Adisak merupakan seorang pemain yang mempunyai sentuhan penyudah yang berbisa dan mempunyai visi yang baik dalam bolasepak.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 m ini semestinya bakal memberi lebih variasi dalam jentera serangan pasukan ini. Adisak pada ketika ini sedang menumpukan perhatian bagi membantu pasukan kebangsaan
Thailand dalam saingan AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 yang sedang berlangsung.

Untuk rekod, beliau pernah menjuarai kejohanan ini bersama pasukan Thailand bagi tahun 2014 dan 2020. Beliau juga telah memenangi gelaran penjaring terbanyak bagi kejohanan ini untuk tahun 2018.

Adisak telah membuat penampilan bersama skuad Thailand semalam dalam aksi pertama saingan AFF 2022 dan pasukannya beriaya menewaskan Brunei dengan jaringan besar 0-5.