Peminat bola sepak tempatan menerima berita gembira apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023.

AFC sebelum ini mengesahkan bahawa semua perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format ‘single round robin’. Langkah itu dibuat setelah mengambil kira faktor-faktor serta cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

6 venue berpusat telah ditawarkan kepada 24 pasukan yang bertanding dalam saingan kelayakan itu. Selain Malaysia, 5 lagi negara yang terpilih ialah India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan.

3 tarikh telah ditetapkan untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 iaitu 8,11 dan 14 Jun 2022. Pasukan yang akan menentang Malaysia bakal ditentukan melalui undian rasmi pada 24 Februari ini.

Pembahagian pasukan dalam balang undian adalah berdasarkan kedudukan ranking FIFA pada 10 Februari 2022. Malaysia berada dalam balang 3 undian Kelayakan Piala Asia 2023 bersama Afghanistan, Yemen, Myanmar, Maldives dan Indonesia.

24 pasukan ini akan diundi dalam 6 kumpulan. Hanya juara kumpulan dan 5 pasukan naib juara kumpulan terbaik akan dapat tiket beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Mereka akan menyertai 12 pasukan daripada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 yang telah mengesahkan tempat lebih awal untuk membentuk 24 pasukan terbaik bertanding di Piala Asia 2023 di China pada 17 Jun hingga 16 Julai 2023.

12 pasukan yang telah mengesahkan tempat di Piala Asia 2023 ialah Vietnam, Syria, China, Australia, Iraq, Iran, Saudi Arabia, Oman, Japan, UAE, Korea and Lebanon.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

E. Elavarasan Bakal Dilantik Sebagai Pembantu Jurulatih Harimau Malaya?

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022