Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu dari Liberia, Kpah Sherman untuk memperkuatkan jentera serangan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Menurut kenyataan rasmi, Sherman telah menandatangani kontrak bersama TFC selama setahun dan dijangka akan berganding dengan Jordan Mintah di bahagian serangan.

Kpah Sherman bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak tempatan kerana beliau sudah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2017. Ketika bersama Kedah pada musim 2020 hingga 2021, beliau telah menjaringkan 19 gol dalam 28 penampilan.

“Kpah Sherman yang beraksi bersama pasukan Kedah Darul Aman FC bagi saingan musim lepas memutuskan untuk berhijrah ke pasukan ini atas beberapa faktor dan antara faktor utama adalah beliau melihatkan corak permainan pasukan Terengganu FC sangat bersesuaian dengan cara yang beliau bermain dan beliau sendiri melihatkan pasukan ini mampu memburu kejuaraan pada musim yang akan datang.

“Penyerang yang berjaya menghasilkan 13 gol bersama KDA FC bagi saingan Liga Super 2021 tetap memilih untuk berhijrah walaupun bekas pasukannya itu bakal beraksi di saingan pentas Asia bagi musim hadapan kerana meminati gaya permainan pasukan ini yang baginya mampu meningkatkan lagi kualiti permainan yang ada pada beliau,” kata TFC dalam kenyataan rasmi.

Malah, bekas pemain PKNS FC itu turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala bersama TFC pada musim depan dan tekad untuk mempamerkan prestasi yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Kpah menyatakan beliau begitu komited dan semangat untuk membantu pasukan Terengganu FC memburu kejuaraan kerana melihatkan pasukan ini telah menyasarkan untuk memburu piala pada musim 2022 dan beliau merasakan itu satu tempoh yang sangat sesuai dengan melihatkan pemain-pemain yang ada bersama pasukan ini terutama pemain muda telah memasuki tempoh tahun ke-3 bersama dan keserasian yang ditampilkan dalam setiap aksi adalah luar biasa dan beliau ingin menjadi salah seorang pemain yang bakal melengkapkan ‘puzzle’ kejuaraan pasukan ini.

“Kpah Sherman yang juga merupakan salah seorang penyerang skuad kebangsaan negaranya ini akan menyarung jersi bernombor 9 bersama pasukan Terengganu FC pada musim hadapan” tulis kenyataan rasmi tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

TMJ Tak Jadi Berehat, JDT Bakal Berbelanja Besar Untuk Perkuatkan Pasukan Musim Depan

Khairu Azrin Akui Sukar Tolak Tawaran Kedah, Tak Lupakan Jasa Penang

Sean Selvaraj Hampir Pasti Kembali Perkuatkan Negeri Sembilan