Pemain tengah skuad kebangsaan, R.Kogileswaran bakal beraksi dalam saingan Liga Korea bagi musim 2023 apabila menyertai salah sebuah kelab di negara itu.

Difahamkan bekas pemain PJ City itu telah menandatangani kontrak selama setahun bersama salah sebuah kelab yang beraksi di divisyen kedua iaitu Chungbuk Cheongju.

Musim lalu, Chungbuk beraksi di divisyen ketiga dimana mereka menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 16 pasukan yang bertanding. Bagi saingan musim 2023, kelab tersebut bakal beraksi dalam saingan K2 dengan satu lagi kelab iaitu Cheonan City.

Dalam saingan K2, 13 pasukan akan bermain antara satu sama lain sebanyak tiga kali untuk satu musim yang mana jumlah perlawanan ialah sebanyak 36 perlawanan.

Menurut laporan K League United, Musim 2023 akan bermula pada penghujung bulan Februari yang mana saingan akan tamat pada awal Disember sekaligus akan menjadi musim yang lebih panjang daripada tahun sebelumnya.

Pengelola liga juga sedang bersiap untuk mengurangkan bilangan perlawanan yang diadakan pada hari Selasa dan Rabu dimana mereka mahu memberikan fokus pada perlawanan hujung minggu.

Sebelum ini, Kogi dikaitkan dengan kelab Singapura, Tampines Rovers namun Liga Korea menjadi destinasi dipilihnya kerana lebih kompetitif dan berpeluang mendalami corak permainan yang berkualiti.

Kogi juga menjadi pemain kedua dari rantau Asia Tenggara dalam saingan K2 dimana sebelumnya ketua pasukan skuad kebangsaan Indonesia, Asnawi Mangkualam beraksi bersama Ansan Greeners.