Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Khuzaimi Piee sah menyertai pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Nama Khuzaimi atau lebih mesra dipanggil Jimmy mula mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan apabila mempamerkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan sejak dibawah kendalian Kim Pan-gon.

Walaupun beberapa pasukan lain turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 29 tahun itu namun bekas pertahanan Negeri Sembilan ini memilih untuk menyertai Selangor. 

Kehadiran Khuzaimi turut disambut baik oleh peminat setia Selangor dengan harapan dapat mengurangkan kebocoran di bahagian pertahanan serta tidak mudah dibolosi.

Beliau dijangka berganding dengan seorang lagi pemain kebangsaan, Sharul Nazeem di bahagian pertahanan tengah dalam skuad gergasi merah yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe.

Kedua-dua pemain itu kini bersama skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung pada hari esok.

Selain Khuzaimi, SFC sebelum ini mengumumkan kemasukan seorang lagi pemain kebangsaan iaitu Ruventhiran yang beraksi di posisi pertahanan kiri. Malah, nama Faisal Halim turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan tersebut.

Kemasukan mereka adalah untuk membantu memperkuatkan bahagian pertahanan dan tengah yang dilihat menjadi masalah terbesar Selangor pada musim ini.