Pengendali berpengalaman kelahiran Sepanyol, Juan Antonio Miguel Garcia secara rasminya telah diperkenalkan sebagai ketua jurulatih bagi skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Perkembangan terkini yang pastinya menarik minat para pencinta futsal itu disahkan oleh laman Facebook JOHOR Southern Tigers, sebentar tadi.

Khidmat pengendali yang turut mesra dengan panggilan Juanito itu ditagih JDT susulan pengalaman luasnya dalam membimbing Real Betis dan Mallorca Palma dalam saingan Liga Futsal Sepanyol.

Selain itu, Juanito turut pernah berkelana ke Asia dengan bergelar ketua jurulatih Thai Son Bac (Vietnam) dan Al Rayyan di Qatar.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Juanito dijangka akan membawa seorang penolong jurulatih dari Sepanyol bagi mengisi kekosongan dalam barisan kejurulatihannya.

JDT yang akan membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Premier Futsal Malaysia (MFPL) kini sedang giat dalam memantapkan pasukan dengan kehadiran sebahagian besar pemain kebangsaan.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah Azrul Hadee Mohd Taufik (penjaga gol), Azri Rahman, Muhd Ekmal Sharin, Azwann Ismail serta pemain berkualiti tinggi seperti Saad Sani, Firdaus Ambiah dan Danial Dain.

Sebagai rekod, Selangor MAC merupakan pemenang bagi dua edisi berturut-turut selepas menjuarai saingan 2019 dan 2022 dimana kempen liga paling berprestij itu tidak dapat dijalankan selama dua tahun akibat wabak COVID-19 yang melanda tanah air.