Kegagalan dalam saingan Sukan SEA Vietnam dan Kejuaraan AFC B-23 di Uzbekistan tempoh hari menyaksikan Brad Maloney terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Perkembangan terkini mengenai masa depan pengendali dari Australia itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan yang mengatakan kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk berpisah.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah melepaskan ketua jurulatih B-23 kebangsaan, Brad Maloney secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.”

“Ia dicapai selepas Maloney, 50, hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu.”

Kredit Foto: FAM

“Maloney merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana telah memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014 yang mana ia telah banyak membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihannya bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan.”

“Selamat maju jaya kepada Maloney dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini. Jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang. Terima kasih.”

Skuad B-23 negara menamatkan saingan Sukan SEA 2021 di Hanoi tempoh hari di kedudukan keempat selepas tewas di tangan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Manakala tidak sampai sebulan kemudian, anak buah Maloney gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam kempen Kejuaraan AFC B-23 selepas tunduk kepada Korea Selatan, Thailand dan Vietnam untuk menduduki tempat terakhir kumpulan.