James Rodriguez secara rasmi meninggalkan Real Madrid. Pemain tengah Colombia telah diumumkan sebagai pemain Everton yang baru.

“Everton telah merekrut playmaker Colombia, James Rodriguez dari Real Madrid dengan kontrak dua tahun, termasuk pilihan untuk lanjutan ke musim ketiga,” kata Everton menerusi kenyataan rasmi kelab.

Rodriguez sebelum ini memang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Everton.

James Rodriguez memiliki baki kontrak hanya tinggal satu musim dengan Real Madrid.

Bekas pengurus beliau ketika di Madrid, Carlo Ancelotti, menginginkan beliau datang Everton. Dan pengurus dari Itali itu memainkan peranan penting dalam keputusan Rodriguez ke Everton.

Pemain berusia 29 tahun itu bukan lagi sebahagian dari rancangan Real Madrid, yang kini kembali dikendalikan oleh Zinedine Zidane.

Beliau sudah lama tidak mendapat tempat dalam pasukan Zidane. Bahkan sebelum Zidane meletak jawatan dahulu pun beliau sudah gagal menjadi pemain utama.

Musim lalu James kembali bersama Los Blancos setelah dua musim dipinjamkan di Bayern Munich, tetapi hanya membuat 14 penampilan di semua pertandingan.

Perpindahan James ke Everton hanya sekitar £22.5 juta (€25 juta). Bagi Rodriguez, ini adalah peluang baru untuk menghidupkan kembali kariernya yang agak suram.

“Saya sangat, sangat gembira berada di kelab hebat ini, kelab yang mempunyai sejarah yang begitu hebat, dan berada di sini dengan pengurus yang sangat mengenali saya,” kata Rodriguez kepada laman web rasmi Everton.

“Saya berharap dapat mencapai perkara besar di sini, dan memenangi sesuatu, yang menjadi sasaran semua orang,” tambahnya.

Baca juga perkembangan lain

Analisis: Bagaimana Lampard Menyusun Atur Pasukannya?

Raiola Tuntut Gaji €10 Juta Semusim Untuk Donnarumma

UNL: Sepanyol Ratah Ukraine, Jerman Seri Lagi