Manchester City secara rasminya telah memperkenalkan pemain tengah, Jack Grealish sebagai rekrut baharu dengan yuran perpindahan bernilai £100 juta yang sekali gus menjadikan ia sebagai pembelian termahal buat pemain Inggeris.

Bekas ketua pasukan Aston Villa itu juga dilaporkan telah memeterai kontrak selama enam tahun dan diberikan jersi bernombor 10 yang ditinggalkan oleh penyerang dari Argentina, Sergio Aguero.

Perkembangan terbaharu itu bukanlah perkara mengejutkan buat para peminat kerana sebaik sahaja saingan Euro 2020 berakhir, nama Grealish sentiasa dikaitkan dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 itu.

Aksi cemerlang dalam mengemudi jentera tengah Aston Villa dengan cukup baik jelas menarik minat Pep Guardiola untuk memperkuatkan skuad bimbingannya dalam menghadapi musim baharu.

Berusia 25 tahun, Grealish membuat 213 penampilan bersama Aston Villa dan berjaya menjaringkan 32 gol serta mencipta 43 bantuan jaringan.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester City,” ujar Grealish menurut laman sesawang rasmi kelab tersebut.

“City merupakan kelab yang terbaik di negara ini dengan pengurus yang boleh dikatakan sebagai terbaik di dunia. Ia merupakan impian jadi nyata buat saya menjadi sebahagian daripada kelab ini.”

“Selama 10 tahun terakhir, mereka sangat konsisten memenangi kejuaraan utama. Pep datang ke sini telah membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dan bola sepak yang dimainkan oleh kelab ini adalah yang paling menarik di Eropah.”

“Bermain untuk Pep dan belajar daripadanya adalah sesuatu yang istimewa dan ia sesuatu yang semua pemain bola sepak mahukan.”

“Kemudahan di sini juga luar biasa dan sejujurnya saya tidak sabar untuk bermula, berjumpa dengan semua orang dan beraksi,” tambah Jack Grealish lagi.

Baca artikel lain mengenai Jack Grealish:

TERKINI: Jack Grealish Hampir Rasmi Jadi Pemain City Dengan Nilai Perpindahan £100 Juta

Peminat Villa Tak Rela Grealish Sertai Kelab Yang Tiada Sejarah & Wujud Sejak 10 Tahun Lalu

City Sediakan Pakej £100 Juta Untuk Beli Grealish