Bagai sirih pulang ke gagang, pemain pertahanan skuad kebangsaan, Irfan Zakaria kembali semula ke kampung halamannya apabila diumumkan sebagai pemain tempatan baharu yang menyertai Kuala Lumpur United FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

Pemain yang berusia 26 tahun itu beraksi dalam 11 perlawanan Liga Super bersama skuad Kedah pada musim lepas dan beliau juga sempat membantu pasukan itu dalam mengharungi kempen kelayakan AFC Champions League.

Datuk Ong Kim Swee
Sumber Gambar: KL Hawks

Sebelum menyertai Kedah bagi musim 2020, Irfan telah membuat 91 penampilan untuk Kuala Lumpur dari 2016 hingga 2019 dan menjaringkan dua gol.

Kini Irfan hanya memerlukan sembilan perlawanan lagi untuk mencapai 100 penampilan bagi Kuala Lumpur United FC dan menjadi pemain berstatus lagenda bersama kelab tersebut.

“Selepas setahun saya tinggalkan KL, saya kembali ke pasukan lama ini dengan menimba pengalaman dan membuat kawan baru di Kedah. Saya berterima kasih kepada KL kerana mengambil saya kembali. Saya juga bergembira dapat bermain semula di sini,” kata Irfan dipetik dalam laman web rasmi KL United. 

“Saya melalui satu perjalanan yang sukar sebab di Kedah reputasinya tinggi sebagai pasukan gergasi. Saya berjaya sesuaikan diri dengan suasana dan penyokong di sana dan dapat membina pengalaman,”tambahnya.

Selain Irfan, kapten pasukan Paulo Josue juga menghampiri 100 penampilan selepas bermain dalam 86 perlawanan untuk Kuala Lumpur sejak 2017.

Adakah Irfan bersedia untuk menjadi pemain lagenda Kuala Lumpur?

“Itu saya tak tahu tapi kalau ada rezeki dan telah tertulis untuk saya bermain lebih lama lagi bersama Kuala Lumpur, InsyaAllah saya akan berbakti di sini,” tambah Irfan, yang telah bermain dalam 48 perlawanan Liga Super bersama Kuala Lumpur dan Kedah.

“Saya tak sedar yang saya menghampiri 100 penampilan untuk Kuala Lumpur. Selepas saya keluar dari Harimau Muda, rezeki saya untuk bermain dengan Kuala Lumpur dan dapat belajar apa yang perlu saya perbaiki. InsyaAllah, saya akan bermain lebih baik.” ujarnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan dan asia melalui pautan dibawah.

Real Chukai FC Kelab Amatur Pertama Di Terengganu Memiliki Fasiliti Stadium Sendiri

Kelab Kemboja Ini Berjaya Raih ‘Sumbangan’ Lebih RM100,000 Dalam Tempoh Kurang 10 Hari

Kerteh FC Umum INKA Creative Beli 10% Saham Syarikat, Bakal Garap Strategi Lonjak ‘Branding’ Kelab

Enam Pasukan Diberikan Lesen Kelab Kebangsaan Kecuali UKM FC