Juventus berjaya dalam rayuan kes mereka untuk membatalkan hukuman pemotongan 15 mata dikenakan oleh FIGC sebelum ini.

Juventus dikenakan pemotongan 15 mata selepas didapati bersalah dalam pengurusan kewangan.

Juventus dilaporkan memalsukan nilai perpindahan dan juga laporan kewangan melibatkan gaji pemain dari tahun 2020 sehingga 2021. Di mana ketika itu kelab dilaporkan mendapat kesepakatan dengan beberapa pemain untuk mengurangkan gaji sepanjang tempoh pandemik.

Mahkamah menjatuhkan hukuman pemotongan 15 mata ke atas Juventus. Lebih berat daripada pemotongan 9 mata yang dicadangkan oleh pihak pendakwaraya.

11 individu dari kalangan ahli lembaga pengarah – sama ada yang sebelum ini dan yang ketika ini – termasuk bekas presiden kelab, Andrea Agnelli dikenakan penggantungan daripada aktiviti bola sepak.

Agnelli dikenakan larangan 24 bulan. Sementara itu bekas pengarah sukan kelab, Fabio Paratici – yang kini menjadi pengarah sukan di Tottenham Hotspur – telah dikenakan penggantungan 30 bulan.

Beberapa bulan lalu keseluruhan ahli lembaga pengarah termasuk Agnelli melepaskan jawatan mereka kerana disiasat atas kes salah tadbir kewangan.

Juventus mengakui kecewa dan terkejut dengan keputusan FIGC.

Mereka menganggap keputusan ini satu penindasan dan ketidakadilan untuk kelab dan jutaan penyokong Juventus di seluruh dunia.

Kelab mengumumkan akan mencabar keputusan mahkamah dan yakin keputusan itu akan dibatalkan di mahkamah rayuan.

Seperti yang dijanjikan Juve sebelum ini, kelab itu benar benar berjaya membuktikan bahawa mereka tidak bersalah di mahkamah rayuan.

Majlis Olimpik Itali (CONI) telah mendengar rayuan Juventus dan membebaskan kelab itu daripada sebarang hukuman.

Ini termasuk pembatalan pemotongan 15 mata serta denda yang dikenakan ke atas kelab itu.

Dengan berita ini, Juventus kini melonjak ke tangga ketiga Serie A. Menolak AC Milan keluar daripada slot 4 teratas.