Individu yang bertanggungjawab membawa Bayern Munich menjulang tujuh piala dalam tempoh dua musim, Hansi Flick disahkan secara rasmi bakal bergelar pengurus skuad kebangsaan Jerman sebaik sahaja kempen negara tersebut berakhir dalam kempen Euro 2020.

Perkembangan terbaharu itu bakal menamatkan ‘jodoh’ selama 15 tahun Jerman bersama pengendali ketika ini, Joachim Low yang membimbing pasukan tersebut sejak Julai 2006.

Flick bukanlah asing buat skuad kebangsaan Jerman apabila pernah bertindak selaku pembantu kepada Low dari tahun 2006 hingga 2014. Tahun 2014 juga menyaksikan Jerman muncul juara Piala Dunia di Brazil.

Mengulas mengenai pelantikan Flick, Pengarah Pasukan Kebangsaan dan Akademi Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Oliver Bierhoff mengakui pengurus berusia 56 tahun itu mempunyai kualiti yang cukup baik bagi membimbing skuad Die Mannschaft itu.

“Kami sangat berbangga kerana dapat menandatangani kontrak Hansi Flick sebagai pengurus skuad kebangsaan,” ujar legenda bola sepak Jerman itu menurut laman sesawang rasmi Jerman.

“Sejak dari awal lagi dia merupakan calon utama kami. Saya begitu mengenalinya dan amat menghargai kualiti profesional yang dimiliki Hansi Flick sejak bertahun lalu kami mencapai kejayaan bersama skuad kebangsaan.”

“Ketika dia bersama Bayern Munich, dia telah menunjukkan dia boleh mengetuai pasukan sebagai ketua jurulatih. Kami mudah untuk mencapai kesepakatan untuk bekerjasama dan tugasan pada kemudian hari [untuk skuad kebangsaan].”

“Ia sangat penting buat saya untuk memberikan penjelasan sebelum bermulanya kejuaraan Eropah [Euro 2020]. Kami mempunyai misi yang cukup jelas iaitu kembali ke puncak ranking dunia,” tambah Bierhoff lagi.

Meskipun turut cemerlang bersama Bayern Munich ketika bergelar pemain, Flick tidak pernah merasai nikmat menyarung jersi Jerman di peringkat senior.

Kontrak Flick yang dimeterai bersama Jerman sehingga 2024 itu akan bermula pada 1 Julai 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan menghadapi Euro 2020:

Sergio Ramos Diketepikan Daripada Skuad Sepanyol Hadapi Euro 2020

Domenech: Kehadiran Karim Benzema Beri Kesan Buruk Buat Perancis

TERKINI: Benzema Bakal Perkuat Skuad Perancis Hadapi Euro

Sumber