Perak memperkuatkan kualiti di jentera serangan apabila telah mengumumkan kehadiran pemain muda yang sebelum ini berkelana di Jepun, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Perkembangan terkini mengenai kedatangan penyerang yang bakal menjengah usia 23 tahun pada 22 Januari itu disahkan oleh laman Facebook rasmi Perak Football Club menerusi video memperkenalkan jersi baharu pasukan Perak bagi menghadapi saingan musim 2023.

Seperti diketahui, selepas beberapa sesi pemilihan dilakukan di Jepun, Hadi telah ditawarkan kontrak untuk bersama Fagiano Okayama pada Disember 2018.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke kelab saingan J League 3, Azul Claro Numazu untuk mendapatkan minit permainan.

Susulan dengan itu, Hadi Fayyadh menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam kempen J League apabila diturunkan oleh Azul Claro Numazu sebagai pemain gantian pada minit ke-84 ketika bertemu  Vanraure Hachinohe yang menyaksikan mereka mencatatkan kemenangan 2-0.

Hadi turut diberikan peluang beraksi selama 30 minit dalam singan liga ketika pertemuan menentang Yokohama SCC dan kemudiannya masuk lewar permainan  sewaktu aksi dengan Kataller Toyama.

Segala pengalaman diperolehinya sepanjang berkelana di Jepun itu diharapkan mampu untuk memberikan sesuatu yang sudah lama hilang di Perak, iaitu melahirkan penyerang tempatan berbisa.

Perak pada ketika ini dilihat menyandarkan harapan di jentera serangan kepada pemain import kelahiran Nigeria, Christian Obiozor dan bakat muda, Muhd Alif Zikri Zaini Anuar untuk merobek gawang pasukan lawan dalam kempen Liga Super 2023.