Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengumumkan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah, menggantikan tempat B.Sathiananthan yang meninggalkan posisi tersebut pada September yang lalu.

Pengendali dari Jerman yang berusia 52 tahun ini telah selamat tiba di Malaysia pada pertengahan bulan Oktober yang lalu dan selesai menjalani proses kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada awal minggu lalu.

Karsten yang sebelum ini pernah bermain untuk pasukan Freiburg di liga tertinggi Jerman, Bundesliga turut menjadi pembantu ketua jurulatih kepada kelab tersebut selepas beliau menamatkan karier beliau sebagai pemain bola sepak profesional.

Sebelum tiba di FAS Training Centre, beliau telah menjadi pengurus kepada kelab divisyen 4 Jerman, RW Essen sebelum memegang jawatan sebagai penasihat bagi SW Essen, bekas pemenang DFB-Pokal di Jerman selama semusim. Beliau juga pernah berkhidmat selaku pembantu ketua jurulatih di Liga Jepun (JLeague) bersama pasukan Urawa Reds.

Namun, pengalaman lebih 10 tahun beliau dalam bidang kejurulatihan, terutamanya dalam menguruskan pasukan VFL Bochum, SV Elversberg selain membantu pasukan Holstein Kiel untuk naik ke divisyen 2 liga Jerman telah membuatkan Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner merasakan bahawa Karsten merupakan individu yang tepat untuk membawa Selangor ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pertamanya, saya cukup mengenali Karsten kerana beliau merupakan bekas pemain saya. Beliau pernah bermain sebagai pemain tengah dan bermain untuk pasukan saya di divisyen kedua Jerman sebelum beraksi di Bundesliga. Karsten merupakan pemain yang hebat.”

“Jadi, adalah cukup bagus jika kami (pihak pengurusan FAS) dan saya selaku Pengarah Teknikal untuk melantik seseorang yang saya kenal sebagai ketua jurulatih.”

“Beliau mempunyai sikap yang bagus, beliau bekerja keras dan mahu membuktikan kemampuannya di Asia. Jadi, saya fikir beliau akan cukup bermotivasi untuk menguruskan pasukan Selangor di Malaysia.”

Tambah Michael, Karsten juga berkebolehan dalam mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan untuk pasukan utama Selangor.

“Ia adalah keutamaan kami untuk melahirkan pemain kita sendiri untuk bermain di Liga Super. Jadi, kita memerlukan ketua jurulatih yang bersifat terbuka untuk menggunakan pemain muda. Kadang-kala, ia sukar untuk seorang jurulatih mempercayai pemain muda kerana mereka cenderung untuk melakukan kesilapan, tetapi Karsten adalah jurulatih yang berani. Jika beliau dapat melihat kualiti dan kemampuan seseorang pemain muda, beliau akan memberikan mereka peluang.”

“Kita ingin membina pasukan terbaik di Malaysia, dan kita perlu melakukakannya dengan cara kita yang tersendiri. Kita mungkin tidak dapat menarik minat pemain terbaik untuk bermain untuk Selangor, tetapi kita boleh cuba untuk mencipta sebuah pasukan terbaik melalui gaya permainan dan program pembangunan kita.”

Bercakap kepada unit Media FAS, Karsten mengakui bahawa amat penting bagi dirinya untuk mengembalikan keyakinan penyokong Gergasi Merah.

“Sudah tentu ia cukup bagus jika saya dapat meyakinkan semua orang di kelab ini dengan memenangi perlawanan. Sejak beberapa minggu lalu, pasukan ini telah memberikan bayangan yang sangat bagus.”

“Saya mempunyai keyakinan (dengan pasukan utama). Saya telah menonton banyak perlawanan pasukan ini dan saya fikir kita mempunyai pasukan yang mempunyai kualiti yang baik.”

Karsten juga menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain-pemain muda selain akan memberikan mereka layanan dan peluang yang sama dengan pemain-pemain lain yang lebih senior.

“Saya juga sempat menonton beberapa pasukan Selangor 2. Mereka mempunyai potensi yang bagus. Contohnya Aliff (Haiqal), (Ahmad) Zikri, Afro (Nazeem) dan (Ahmad) Danial sebagai penyerang. Mereka merupakan pemain yang bagus, tetapi saya tidak mahu memberikan mereka tekanan. Saya akan terus menyokong pemain-pemain muda seperti mana saya menyokong pemain senior mereka.”

Beliau juga memberitahu yang beliau tidak sabar bertemu penyokong Selangor dan sempat memberikan pesanan berikut:

“Seperti penyokong, saya juga dahagakan kejayaan. Saya mahu memenangi setiap perlawanan bersama pasukan, staf dan penyokong. Namun, kita perlu melakukannya langkah demi langkah. Kita perlu memperbaiki cara kita bermain, kita perlu untuk menambah baik perkara-perkara kecil, kerana perkara-perkara kecil ini akan memberikan perubahan yang besar.”

“Para penyokong perlu tahu apa yang kami sedang lakukan dan perlu faham idea kami. Mereka perlu mempunyai perasaan yang kami tahu mereka akan sentiasa berada di belakang kami dan saya fikir ini adalah hubungan yang baik antara pasukan, kelab dan juga penyokong.”

FA Selangor mengucapkan selamat datang kepada Coach Karsten dan berharap beliau akan membawa pasukan Gergasi Merah ke peringkat yang lebih tinggi.

das Willkommen, Karsten Neitzel!

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Liga Super Malaysia 2020 Catat Lebih 15 Juta Tontonan Hanya Untuk 7 ‘Matchday’ Sahaja Di Youtube

Media Vietnam Ini ‘Cincai Kira’ Kutip 6 Mata Lawan Malaysia Dan Indonesia, Lolos Ke Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022

2 Jaringan Bekas Penyerang JDT, Alhaji Kamara Bantu Sierra Leone Ikat Nigeria 4-4 Selepas Ketinggalan 4 Gol