Selangor terus memperkasakan pasukan apabila baharu sahaja mengumumkan kehadiran pemain lincah, Muhammad Faisal Abdul Halim bagi menambah bisa jentera serangan dalam menghadapi saingan 2023.

Faisal menjadi pemain skuad kebangsaan ketiga yang dibawa masuk oleh Selangor selepas kelab penuh nostalgia itu sebelum ini merekrut V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Perkembangan terbaharu itu disahkan oleh Selangor menerusi laman sosial rasmi kelab tersebut menerusi satu video ringkas memperkenalkan pemain berusia 24 tahun itu.

Kehadiran Faisal jelas menjadi indikasi jelas bahawa Selangor yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 memandang begitu serius untuk menjadi pencabar kejuaraan musim hadapan.

Faisal yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mickey’ membuktikan kemampuannya dengan menjadi nadi kepada kekuatan Terengganu FC sejak menyertai kelab tersebut pada musim 2021.

Tahun ini jelas menampakkan peningkatan yang cukup mendadak ditampilkan oleh Faisal selepas beliau menjaringkan 11 gol sepanjang musim untuk membantu Terengganu menamatkan saingan liga dikedudukan kedua, layak ke final Piala FA serta separuh akhir Piala Malaysia.

Keadaan itu sekali gus membolehkannya membuat banyak penampilan bersama skuad kebangsaan. Malah kini juga beliau turut menggalas tanggungjawab Malaysia di kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric dan berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika menundukkan Myanmar pada aksi sulung, malam tadi.

Pemergian Faisal Halim bukanlah perkara yang mengejutkan kerana sebelum kempen Piala Malaysia tamat, nama beliau kerap dikaitkan dengan penghijrahan ke kelab gergasi tanah air itu.

 

 

Sumber